Ahmad Ridhwan bangkit teruskan kehidupan

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 16 Dis. – “Jika tidak bangkit sekarang berapa lama lagi saya perlu tunggu dan mensia- siakan masa yang ada kerana umur semakin hari makin dewasa.

“Saya perlu buktikan dalam keadaan sebegini saya mampu untuk lakukan sesuatu yang mana ia bukan hanya untuk diri sendiri malah untuk keluarga yang tidak jemu memberi sokongan,” kata Ahmad Ridhwan Mohamed, 23.

Ahmad Ridhwan sebelum ini seorang remaja yang aktif dan cergas bagaimanapun dia diuji apabila terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sehingga terlantar kira- kira empat tahun akibat kecederaan parah dialaminya.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, kehidupan baharunya ini bagaikan satu keajaiban apabila dia yang koma beberapa bulan akibat kecederaan di bahagian kepala dapat bangkit kembali menjalani kehidupan seperti biasa walaupun pergerakan tidak seperti dulu.

“Ianya bukan jangka masa yang singkat, tiga tahun tidak dapat berjalan selain rutin harian diuruskan oleh kakak serta emak membuat saya perlu mencari kekuatan dan apabila teringat kembali kata-kata doktor yang merawat iaitu kesembuhan bergantung kepada apa yang difikirkan tentang diri kita semangat makin berkobar- kobar.

“Oleh itu, saya bersemangat mahu jadi sihat dan hendak teruskan kehidupan dan perlu bangkit untuk berjaya seperti orang lain yang sama nasib seperti saya selain sebagai anak lelaki pertama dalam keluarga saya tunjukkan sesuatu,” katanya.

AHMAD Ridhwan melakukan rutin tugasannya di stesen pam minyak Petronas Ayer Keroh, MYH Petromart.

Ahmad Ridhwan ditemui selepas Majlis Santunan Orang Berinsurans (OB) ‘Return To Work’ (RTW) dan Simbolik Penyampaian Cek PENJANA Kepada Majikan MYH Petromart Oleh PERKESO Melaka, di sini, hari ini.

Katanya, dia amat bersyukur kerana masyarakat luar dapat menerimanya malah turut berbangga dengan diri sendiri kerana mampu mencari ‘duit poket’ sendiri selepas diterima bekerja di sebuah stesen minyak di Ayer Keroh di sini, sejak Ogos lalu.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada majikan kerana sudi mengambil bekerja dan memahami keadaan diri saya, malah rakan-rakan sekerja juga banyak menghulurkan bantuan.

“Saat apabila pelanggan memberi senyuman tanda berterima kasih membuatkan saya gembira dan apabila anak-anak kecil turut tersenyum apabila menyapa mereka membuatkan diri ini merasa puas dengan apa yang dilakukan,” katanya yang kini masih mengalami ketidakseimbangan badan serta tangan kiri masih menggeletar selain masih terdapat darah beku di dalam kepala susulan kemalangan dialaminya pada April 2015.

Views:

1161
Kongsi :
Previous post Nazam wajar diketengah dalam acara rasmi kerajaan
Next post Belanjawan Melaka 2021: Lega namun masih ada yang terpinggir
Ubah saiz-+=