Nazam wajar diketengah dalam acara rasmi kerajaan

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

BUKIT PALAH 16 Dis. – Dalam arus kemodenan ini, warisan seni kebudayaan masyarakat Melayu dan pemupukan sifat nilai-nilai murni dan budi semakin hilang ditelan zaman yang mungkin akan mempengaruhi jati diri dan identiti generasi muda dan generasi yang akan datang.

Justeru pertandingan Nazam – Lambaian Kasih Rasulullah mampu memupuk kesedaran tentang warisan seni dan budaya serta nilai-nilai murni khusus bagi generasi muda dan boleh dijadikan pegangan perjuangan menegakkan seni warisan budaya.

Bahkan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembabgunan), Datuk Salhah Salleh turut menyarankan agar kegiatan seni budaya ini diketengahkan dalam acara-acara rasmi anjuran kerajaan negeri.

“Usaha seumpama ini sekali gus dapat memastikan tradisi ini terus dipulihara kerana nazam antara puisi warisan yang berdepan risiko dipinggirkan masyarakat  sekiranya tidak diperhebatkan.

“Nazam merupakan puisi yang bersifat kolektif dan fungsional yang digunakan dalam kehidupan masyarakat dan kebanyakannya mempunyai bentuk yang terikat seperti pantun dan syair.

“Jika kita belajar tentang ilmu kesenian budaya dan sebagainya, tidak semua puisi tradisional ini dikenali dan popular bahkan kebanyakannya tidak dikarang lagi kecuali pantun dan syair.

“Berkait itu, nazam ini merupakan salah satu daripada puisi lama Melayu berasal dari puisi Arab yang mempunyai bentuk, ciri-ciri dan lagunya yang tersendiri dan  seakan-akan menyerupai nasyid yang boleh didendangkan secara perseorangan atau berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meraamikan majlis penutup Pertandingan Nazam Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka, baru- baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Datuk Md. Azhan Samat dan Pengurus Besar, Institut Warisan Melaka Nurman Mohd Baroldin.

Turut hadir aktivis budaya, Rani Embi,Ketua 2 Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), Ahmad Zauawi Che Cob dan Pegawai Jabatan Agama Islam Melaka Suhairi Yunos.

Menurut  Salhah lagi apa yang lebih menarik daripada seni nazam ini adalah ia hanya didendangkan dalam bahasa Arab yang terdapat dalam kitab berzanji, bertajuk “abdaubis” iaitu nazam sifat dua puluh yang menarik untuk didengar dan mudah untuk dikarang.

Tambah beliau lagi, nazam digunakan oleh para guru yang mengajar agama untuk menyampaikan pengajarannya dan lagu nazam adalah berbeza dengan syair kerana ia mempunyai tempo dan boleh diiringi dengan muzik ‘percussion’ atau ketukan gendang dan rebana.

“Saya menyokong penuh usaha pihak INSWA dan JAIM dengan kerjasama MAIM yang menganjurkan pertandingan nazam ini.

“Dengan mekanisme ini, kita dapat memperkenalkan seni puisi tradisional ini kepada generasi muda khususnya dan kepada para pelancong amnya sebagai salah satu warisan seni budaya negeri yang masih dikekalkan.

“Seni nazam ini boleh dijadikan sebagai pegangan perjuangan menegakkan seni warisan budaya dalam kalangan rakyat Negeri Melaka melalui kegiatan seni budaya sekali gus mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat di Melaka untuk diketengahkan di dalam acara-acara rasmi Kerajaan Melaka selepas ini,” katanya.

Sementara itu juri Ahmad Zauawai pula berkata antara lain pertandingan ini diadakan bertujuan untuk mengumpul peminat-peminat dan penggiat seni nazam di samping memartabat, memelihara dan menanamkan sifat cintakan seni budaya warisan bangsa yang kian luput di mata generasi

Secara tidak langsung beliau juga berharap pertandingan nazam ini dapat mencetuskan minat masyarakat agar mendekati, menghayati dan mencintai puisi tradisional ini sebagai warisan budaya bangsa Melayu ke arah memperkukuh jati diri bangsa Malaysia.

“Dengan penganjuran pertandingan ini, diharapkan agar seni nazam ini dapat menghidupkan semula seni budaya Melayu kepada generasi muda masa kini khususnya, agar ia dapat dipraktikkan untuk persembahan di majlis-majlis rasmi serta majlis perkahwinan di daerah masing-masing.

Views:

1407
Kongsi :
Previous post Polis rampas 407 rokok bernilai lebih RM6,000
Next post Ahmad Ridhwan bangkit teruskan kehidupan
Ubah saiz-+=