Beli ikut keperluan bukan nafsu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Mac – Umat Islam dinasihatkan berpada-pada terutama dalam aktiviti menjual beli bagi mengelakkan kerugian dan pembaziran sepanjang Ramadan.

Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil menasihatkan kepada golongan pengguna di Melaka supaya arif dalam sebarang pembelian dan lebih bijak dalam berbelanja.

“Dalam aktviti ini bagi penjual sudah tentu mereka mahu mencari keuntungan, tetapi kepada pembeli berpada-padalah dan jangan melampaui batas bagi mengelakkan pembaziran berlaku.

“Mereka kena tahu untuk jadi pengguna yang bijak, belilah mengikut keperluan bukannya membeli mengikut kemahuan dan tidak ada kemampuan.

“Perkara seperti ini perlu seimbang, sebagai seorang pengguna dan bukannya membeli mengikut selera kerana hakikatnya yang dibeli itu nanti akan berlaku pembaziran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1445H/2024M peringkat Negeri Melaka berlangsung di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, di sini, semalam.

Program diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Barisan Exco; Timbalan Exco; ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Abdul Halim turut menasihatkan kepada para peniaga makanan di sepanjang bulan itu untuk terus memastikan bahan jualan adalah berkualiti dan dijual dengan harga berpatutan.

“Saya mengharapkan peniaga-peniaga ini perlu berniaga dengan penuh etika dengan menyediakan makanan yang halal, bersih dan berkualiti.

“Ia bagi memastikan agar makanan yang dijual itu tidak basi waima dipanaskan semula dan perlu dijual dengan harga berpatutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post Ramadan: Peluang dekatkan diri kepada Allah SWT
Next post Penganggur ditahan miliki 600 pil yaba
Ubah saiz-+=