Beli rumah, dapat kereta percuma

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

JASIN 25 September – ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, itu gambaran tepat mengenai tuah seorang anak muda yang memenangi cabutan bertuah sebuah kenderaan Proton Saga hari ini.

Muhammad Nur Hafizzudin Husni, 26, sama sekali tidak menyangka dengan pembelian rumah pertamanya di Bandar Botani Parkland Fasa 1 Jasin, dia diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah utama itu.

“Saya memang tak sangka sebab datang sini hanya nak lihat majlis perasmian dan rumah contoh, tiba-tiba nama diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah.

“Alhamdulillah sebelum ini pergi kerja naik motor sahaja, lepas ini bolehlah bawa ibu dan ayah naik kereta pertama saya.

“Tahun ini rezeki melimpah ruah buat saya, bukan saja dapat membeli rumah pertama, malah menang sebuah kereta,” katanya yang berasal dari Rim, Jasin.

Lebih manis, hadiah itu diterimanya sendiri daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang turut mencabut cabutan bertuah utama itu.

Menurut, anak kedua daripada enam beradik itu, dia mula membuat permohonan untuk membeli rumah pada bulan September tahun lalu dan pinjamannya diluluskan beberapa bulan kemudian.

“Saya beli rumah mampu milik bulan September tahun lepas, masa sudah tahu lulus, pihak pemaju (Parkland) suruh sertai cabutan bertuah.

“Alhamdulillah rezeki hari ini, tahun depan pula bulan September rumah saya siap, bolehlah bawa ibu dan ayah duduk sekali jika mereka mahu.

“Harga rumah saya dalam RM190,000, sebab saya memilih rumah di Bandar Botani ini adalah reka bentuknya yang moden selain kawasannya yang selesa,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8694
Kongsi :
Previous post Melaka cari formula baharu untuk pembangunan sukan
Next post Belum dapat ilham untuk bubar parlimen – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=