Belia bantu ‘frontliner’ dinobat johan ABPN

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 12 Nov. – “Jangan mengharapkan balasan dan berkira dalam sesuatu yang yang dilakukan”.

Itulah kunci kejayaan yang dikongsikan Gerakan Belia 4B (M) Solok Kilang Berapi, Merlimau yang dinobatkan sebagai johan Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) Peringkat Negeri Melaka Kategori Pertubuhan Belia.

Ketua Belianya Zaini Muhamad berkata, pertubuhan yang ditubuhkan sejak 1975 itu bergerak aktif sepanjang tahun dalam melakukan kerja-kerja sukarelawan termasuklah menjadi antara yang tampil ke depan membantu petugas barisan hadapan tatkala negara dilanda pandemik COVID-19, tahun ini.

Zaini berkata, dia bagaimanapun sukar mempercayai penat lelahnya bersama ahli persatuan selama ini membuahkan hasil apabila diangkat johan Negeri Melaka selain turut memenangi tempat keempat ABPN peringkat kebangsaan.

“Semua ini tidak akan dicapai tanpa sokongan dan dorongan ahli jawatankuasa serta ahli-ahli kami seramai 81 orang. Atas semangat yang jitu dan tidak mengenal erti penat lelah, kami akhirnya dapat berada di tahap ini.

“Sepanjang pandemik COVID-19 melanda, kita telah bergerak aktif membantu petugas barisan hadapan bukan sahaja dari segi wang ringgit dan bantuan makanan, bahkan turut mengerahkan segala kudrat kami untuk membantu memerangi wabak ini bersama-sama.

“Walaupun pertama kali menyertai ABPN dan tidak mengharapkan apa-apa, alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah yang disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di pejabatnya.

Selaku johan, pertubuhan itu menerima hadiah kemenangan RM15,000, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Tempat kedua dan ketiga menjadi milik Persatuan Belia (MAYC) Seri Pengkalan Lambak dan Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Padang Sebang yang masing-masing membawa pulang RM8,000 dan RM2,000 bersama sijil.

Lebih manis lagi, selain pertubuhan belia, Zaini yang juga petugas di Pejabat Pemantauan dan Pelaksanaan Negeri Melaka di Jabatan Ketua Menteri turut diangkat sebagai johan ABPN kategori Individu Lelaki yang membawa pulang hadiah kemenangan RM4,000 bersama piala dan sijil penghargaan.

Kategori Individu Wanita pula disandang Shamsiah Abdul Razak, 35, seorang pekerja swasta yang bergiat aktif dalam Gerakan Belia 4B cawangan Alor Gajah.

Shamsiah yang juga ibu kepada tiga orang cahaya mata menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kemenangan bersama semua ahli di peringkat akar umbi yang sentiasa memberi dukungan dan galakan untuk aktif menjalankan kerja-kerja amal.

“Sepanjang wabak COVID-19, kita telah bergerak aktif membantu ‘frontliners’ tidak kiralah dari segi tenaga, wang ringgit mahu pun peralatan yang diperlukan. Selama ini kami bekerja bersama atas dasar fisabilillah untuk membantu apa yang terdaya.

“Jadi, saya amat berharap kejayaan saya ini dapat menjadi tauladan yang baik kepada anak muda di luar sana untuk bergiat aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan.

“Bantuan yang diperlukan bukan sahaja dari segi wang ringgit, tetapi tenaga dan keringat yang dicurahkan itulah yang paling bernilai,” ujarnya.

Views:

741
Kongsi :
Previous post Malaysia ulangi sokongan padu terhadap Palestin
Next post Demi tanggungjawab…
Ubah saiz-+=