Belum ada peniaga bazar Ramadan Melaka kena kompaun

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PENGKALAN BATU 30 Mac – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka masih belum mengeluarkan sebarang kompaun ke atas peniaga bazar Ramadan di negeri ini di bawah kesalahan membabitkan kebersihan makanan.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman berkata, walaupun pihaknya mengesan beberapa kesalahan di bawah Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, namun pihaknya masih memberi peluang untuk mendidik peniaga.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memakai apron dan topi, memakai cincin, dan menyimpan kuku panjang ketika berniaga.

Bagaimanapun, tegas beliau, sekiranya didapati peniaga sama masih melakukan kesalahan berulang tindakan kompaun akan diambil.

“Hasil pemantauan sejak awal Ramadan lalu kita telah mengesan beberapa kesalahan membabitkan aspek kebersihan, tetapi tiada kompaun dikeluarkan kerana kita mahu beri mereka (peniaga bazar Ramadan) peluang.

“Jadi, selepas lawatan ini, saya mengingatkan semua peniaga bazar Ramadan agar menjaga kebersihan diri dan premis, jika didapati mereka masih melakukan kesalahan, kita tidak akan bertolak ansur lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Rusdi memaklumkan JKN Melaka telah mengeluarkan kompaun bernilai RM22,000 di atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menerusi Operasi Ramadan (Ops Ramadan) bermula 23 Mac hingga semalam (29 Mac).

Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 897 premis makanan iaitu membabitkan kilang ais, kilang mi, kilang memproses ayam dan daging, selain hotel yang menyediakan bufet Ramadan.

“Sebanyak enam kompaun dikeluarkan membabitkan tiga kompaun ke atas kilang ais serta tiga kompaun ke atas kilang ayam dan daging dengan nilai RM3,250.

“Manakala untuk untuk bufet Ramadan, sebanyak 44 hotel telah diperiksa dan sebanyak 46 kompaun dengan nilai RM18,750 telah dikeluarkan dengan dua daripadanya diarahkan ditutup,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3938
Kongsi :
Previous post Kebakaran: Anak pesan baju raya warna hitam – Ibu
Next post Terus beri sokongan kepada kepimpinan baharu – Sulaiman
Ubah saiz-+=