Terus beri sokongan kepada kepimpinan baharu – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 31 Mac – Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka sepanjang beliau bergelar Ketua Menteri ke-12 bermula 9 Mac 2020 yang lalu.

Pada satu hantaran di Facebook rasminya, Sulaiman berkata, hari ini, bakal menjadi hari terakhir untuknya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang dikasihi, atas segala sokongan, dokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai Ketua Menteri.

“Sempena bulan puasa, Ramadan Al Mubarak ini, saya dan keluarga juga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan daripada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan dan kekhilafan sepanjang saya memegang amanah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu turut menyeru kepada rakyat Melaka untuk terus memberi sokongan, dokongan dan kerjasama terbaik kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.

Katanya, kerjasama yang baik sama seperti yang telah diberikan kepadanya sebelum ini perlu diteruskan demi Negeri Melaka tercinta.

“Akhirul kalam, saya dan keluarga mendoakan agar seluruh rakyat dan negeri Melaka yang dicintai terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1191
Kongsi :
Previous post Belum ada peniaga bazar Ramadan Melaka kena kompaun
Next post Kes tibi di Melaka meningkat
Ubah saiz-+=