Kes tibi di Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PENGKALAN BATU 30 Mac – Kes Tuberkulosis atau tibi di Melaka merekodkan trend meningkat apabila sebanyak 127 kes telah direkodkan setakat Minggu Epid ke-12 tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 20 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, trend peningkatan itu dilihat cukup membimbangkan di mana pihaknya menganggarkan angka kes melibatkan penyakit itu boleh mencapai 500 kes pada setiap tahun.

“Daripada 127 kes yang direkodkan daripada 12 minggu tahun ini, sebanyak 88 kes dikesan di daerah Melaka Tengah, diikuti 35 kes di daerah Alor Gajah dan 10 kes daerah Jasin.

“Justeru, kita menyarankan mereka yang mempunyai simptom atau tanda seperti demam pada waktu malam, batuk lebih seminggu dan tinggal di kejiranan yang mempunyai pesakit tibi agar segera mendapatkan pemeriksaan di klinik-klinik kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Walkabout Bazar Ramadan: Jabatan Kesihatan Pantau Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringgit di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dr. Rusdi turut memaklumkan kes denggi di negeri ini turut merekodkan peningkatan apabila sebanyak 213 kes telah direkodkan setakat 25 Mac lalu.

Katanya, jumlah itu meningkat lebih 50 peratus berbanding 135 kes direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada kes kematian akibat denggi direkodkan setakat ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1519
Kongsi :
Previous post Terus beri sokongan kepada kepimpinan baharu – Sulaiman
Next post 120 kanak-kanak ceria dapat duit raya RM150
Ubah saiz-+=