‘Bendera putih di hotel bukan nak rayu bantuan’

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Julai – Bendera putih yang dinaikkan di Hotel La Crista, di sini, adalah simbolik bagi meluahkan bahawa sektor perhotelan Melaka terjejas dan semakin dihimpit tekanan dalam situasi pandemik yang melanda negara.

Pengurus Besarnya, Jason R Bak berkata, pihaknya terpaksa menaikkan bendera itu bukannya untuk memohon bantuan makanan seperti yang dilaksanakan sesetengah pihak, namun sekadar mempamerkan solidariti menunjukkan sektor itu terjejas dan gagal menerima bantuan dengan lebih menyeluruh.

Jelasnya, pihaknya kesal berikutan tiada jalan penyelesaian secara terus kepada pihak hotel bagi membantu menguruskan sektor itu membuatkan pengusaha terkesan sehingga ramai pekerja hotel yang dicutikan tanpa gaji.

JASON.

“Bendera putih dinaikkan sebagai simbolik kerana kecewa dengan cara pekerja hotel dihargai dari segi kebajikan, kesihatan dan juga pendapatan.

“Semoga bendera putih ini mendapatkan perhatian yang sewajarnya demi menegakkan kemakmuran semua pekerja hotel di Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berharap, pihak terlibat memainkan peranan dan menyalurkan pelbagai inisiatif buat pemain industri pelancongan itu dengan lebih telus bagi memastikan ia benar benar diterima pihak yang terkesan.

“Kerajaan perlu menilai semula setiap cukai yang dikenakan kepada hotel agar mampu dikurangkan dalam tempoh ini.

“Selain itu, pihak terlibat perlu memperluaskan program vaksinasi dah mengkaji semula kebenaran merentas negeri agar pemain industri pelancongan Melaka mampu dibangunkan semula di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

910
Kongsi :
Previous post ‘Kami pun perlu diberi vaksin’ – Penggiat pelancongan
Next post Kurung dan pukul kekasih, tukang kasut didenda RM6,000
Ubah saiz-+=