‘Kami pun perlu diberi vaksin’ – Penggiat pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Pemain industri pelancongan di negeri ini meminta supaya diberikan keutamaan untuk suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka, Sazali Sabri berkata, ia memandangkan pemain industri adalah penyumbang besar kepada sektor ekonomi negeri.

“Pendapat saya jika dilihat sumber utama pendapatan negeri adalah daripada sektor pelancongan.

“Saya rasa kita pun kena diutamakan juga…jangan dilupakan, kita perlu cari satu jalan bagaimana boleh divaksinkan untuk pekerja industri sektor pelancongan yang ada ini,” katanya ketika dihubungi MHI.

Sazali berkata tiada gunanya jika masih ramai pekerja industri pelancongan belum divaksin kerana dikhuatiri jumlah kes COVID-19 akan terus meningkat.

“Tak guna nanti bila kita dah boleh buka ramai lagi pekerja dari pemain industri pelancongan ini belum divaksin, jadi kes COVID-19 mungkin akan naik semula.

“Bila dah boleh operasi, sektor pelancongan ini adalah utama dan orang mula berkunjung, kalau kita tidak divaksin risiko terdedah lebih tinggi.

“Sebab itulah dalam pemberian vaksin COVID-19 ini perlu seimbang, janganlah ketepikan kita,” katanya.

Ujarnya, penggiat industri pelancongan di negeri ini telahpun menghantar permohonan bagi mendapatkan vaksin COVID-19 kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

“Kita memang dah mohon sejak tiga bulan lalu melalui MOTAC dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) pun dah tahu mengenai hal ini, tapi sampai sekarang tak dapat apa-apa maklum balas.

“Kunci utama untuk kita pulih daripada pandemik COVID-19 ini adalah vaksin, jadi dalam pemberian vaksin juga perlulah seimbang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post Budimu disanjung tinggi
Next post ‘Bendera putih di hotel bukan nak rayu bantuan’
Ubah saiz-+=