Budimu disanjung tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

LENDU 1 Julai – Seramai 61 anggota polis di tiga balai menerima sumbangan barangan makanan daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, hari ini.

Selain barangan makanan, wakil rakyat itu turut menyalurkan wang tunai RM2,000 untuk baik pulih tiga balai terbabit iaitu Balai Polis Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru dan Lubok Cina, di sini.

Mas Ermieyati berkata, sumbangan bertujuan menghargai jasa dan sumbangan anggota polis berkhidmat tanpa mengenal erti penat, terutama yang terbabit dalam sekatan jalan raya (SJR).

Petugas Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah mengangkat barangan makanan untuk anggota polis di Balai Polis Lubok Cina.

“Mereka berkhidmat tanpa mengira panas dan hujan semata-mata untuk membantu memutuskan rantaian COVID-19 dan hari ini saya amat berbesar hati dapat menghargai jasa mereka.

“Walaupun sumbangan itu tidak seberapa, sekurang-kurangnya ia sebagai tanda jasa mereka sentiasa dihargai,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada Timbalan Ketua Balai Polis Masjid Tanah, Sarjan Abu Hurairah Ismail.

Sementara itu, Abu Hurairah berkata, 33, anggota polis di balai berkenaan bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Mas Ermieyati kerana sudi menghulurkan sumbangan.

Mas Ermieyati menyerahkan sumbangan wang tunai dan makanan kepada Sarjan Mejar Abdul Rashid Hassan di Balai Polis Lubok Cina.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Datuk Mas kerana sudi menjenguk kami di balai ini dan memberikan sumbangan dan kami berjanji terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis komited memelihara ketenteraman awam, selain memastikan anggota komuniti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Ketua Balai Polis Lubok Cina, Sarjan Mejar Abdul Rashid Hassan berkata, 12 anggota polis di balai berkenaan berbesar hati menerima sumbangan itu dan mengucapkan terima kasih.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan pemberian ini dan ia secara tidak langsung menguatkan lagi semangat kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post 6,988 kes COVID-19 baharu hari ini, Selangor terus catat kes tertinggi
Next post ‘Kami pun perlu diberi vaksin’ – Penggiat pelancongan
Ubah saiz-+=