Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Melaka mula beroperasi hari ini

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

MELAKA, 20 Feb – Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Melaka, yang mendapat tajaan korporat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.18 juta, mula beroperasi hari ini sebagai tempat penginapan untuk ahli keluarga pesakit yang dimasukkan ke hospital berkenaan secara percuma.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, Anjung Kasih YKN yang ke-13 itu bertujuan meringankan beban kewangan dan emosi ahli keluarga pesakit, khususnya golongan B40 yang tinggal jauh dari hospital berkenaan, dan perlu berulang-alik menjaga pesakit.

Beliau berkata premis berkenaan juga digunakan untuk petugas barisan hadapan, yang perlu sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas secara ‘ad hoc’ sepanjang penularan COVID-19.

“Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Melaka, merupakan tajaan kedua oleh TNB selepas Anjung Kasih YKN Hospital Serdang, dan kemudahan ini diwujudkan untuk memberi penginapan sementara yang selesa, kepada mereka yang memerlukan.

“Sejak 2006 hingga Disember tahun lepas, 12 Anjung Kasih YKN yang beroperasi di hospital kerajaan di seluruh negara, telah memberi manfaat kepada 79,282 penghuni,” katanya kepada pemberita selepas Tinjauan dan Penyerahan Kunci Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Melaka di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan replika kunci Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Melaka kepada Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ismail Ali, dan turut disaksikan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Retail TNB Melaka Ir Khairizam Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rina berkata tiga lagi Anjung Kasih YKN iaitu di Hospital Duchess of Kent di Sabah, Hospital Sultanah Aminah di Johor dan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang, akan dibuka secara berperingkat menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata tiga syarikat korporat iaitu TNB, Petronas dan Kumpulan Sunway, telah menaja pembinaan lima Anjung Kasih YKN dalam tempoh 2018 hingga tahun lepas.

“Kita mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat atau swasta, yang ingin bersama-sama YKN untuk menaja pembinaan lebih banyak Anjung Kasih di negara ini dan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, akan diberikan kepada penyumbang atau penaja terlibat,” katanya.

Beliau berkata sumbangan wang tunai boleh disalurkan ke akaun YKN menerusi Alliance Islamic Bank Berhad (160140010004801) atau Maybank Islamic Bank berhad (568621012284).

Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Melaka dilengkapi asrama lelaki dan perempuan, serta bilik keluarga yang menyediakan 64 katil serta ruang pendaftaran, bilik kaunseling, bilik mandi, tandas, surau, ruang makan, ruang membasuh dan jemuran.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2357
Kongsi :
Previous post Jangan malu anak ada kad OKU – Rina Harun
Next post Dos vaksin COVID-19 tidak akan dibazirkan
Ubah saiz-+=