Biak rusa sambar bantu tingkatkan populasi ‘pak belang’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TABOH NANING 15 Ogos – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini giat membiakkan rusa sambar bagi meningkatkan semula populasi haiwan itu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penyusutan jumlah haiwan itu turut mempengaruhi populasi Harimau Malaya di negara ini.

Katanya, rusa sambar adalah antara sumber makanan utama bagi ‘pak belang’ yang hidup liar di belantara di Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, pemburuan haram antara faktor menyebabkan populasi rusa sambar di negara ini menurun.

“Hasil pemerhatian menggunakan ‘camera trap’ (perangkap kamera) di 50 lokasi mendapati sekitar tiga ekor sahaja direkodkan di dalam hutan.

“Jadi, kami menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan populasi haiwan ini yang menjadi sumber makanan harimau ditingkatkan. Sejak rusa jenis ini berkurangan populasi Harimau Malaya juga merosot.

“Kita perlu beri perhatian serius kerana perkara ini berterusan setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar dan bengkel Teknologi Pembiakan Terbantu (ART) di A’Farmosa Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pertubuhan Taman Zoologi Thailand (ZPOT) Attapon Srihayrun dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat A’Famosa Resort, Datuk Alex Lau.

Abdul Kadir berkata, kebiasaan memburu rusa sambar kerana dagingnya yang dikatakan bagus untuk kesihatan juga perlu dielakkan.

Menurutnya, hasil penguatkuasaan dilaksanakan mendapati selain orang tempatan, rusa sambar turut menjadi pemburu asing dari negara jiran.

“Malaysia kaya dengan khazanah, mereka dari negara jiran ini memburu apa sahaja termasuk burung. Gaharu dalam hutan kita juga diambil, mungkin kerana hasil di negara mereka sudah tidak ada.

“Alhamdulillah, menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dijalankan Perhilitan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain berjaya mengekang aktiviti itu.

“Setakat ini OBK membuahkan hasil, banyak tangkapan dan rampasan dilakukan, jadi kami berharap rakyat teruskan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1047
Kongsi :
Previous post Motosikal terbabas, penunggang maut terseret
Next post KKM lulus 359 rayuan pertukaran penempatan pegawai perubatan setakat ini
Ubah saiz-+=