Blueprint M-WEZ rujukan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 11 April – Laporan ‘Blueprint’ Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) akan diguna pakai di peringkat pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sebagai rujukan utama pembangunan projek baharu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, penyediaan Blueprint M-WEZ merupakan kerangka hala tuju strategik dalam menarik pelaburan dan pembangunan masa depan.

Katanya, Bluerprint itu merangkumi strategi pembangunan ekonomi, fizikal dan sosial selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di bawah Flagship 1: Pembangunan Ekonomi – Melaka.

“Selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bil 5/2022 yang bersidang pada 16 Feb lalu, pihak kerajaan negeri telah bersetuju agar laporan Blueprint ini diguna pakai di peringkat pihak berkuasa negeri, PBT, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung di dalam koridor M-WEZ Melaka.

“Ia akan dijadikan sebagai rujukan utama kelulusan pemajuan pembangunan dan perintis pelaburan di samping menjadi asas permohonan peruntukan projek-projek baharu di bawah Rancangan Malaysia (RMK).

“Ini bermakna sebarang bentuk pembangunan yang terdapat dalam M-WEZ mesti diterima pakai sekalian dengan apa jua bentuk permohonan M-WEZ.

“Kalau ada perkara yang hendak dibangunkan ia tidak lagi dalam peringkat jawatankuasa teknikal sebaliknya Blueprint ini digunakan bagi menyelaras semua pembangunan,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi bulan April 2022 dan Pelancaran Blueprint M-WEZ di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata pembangunan M-WEZ itu menyasarkan lima peratus kenaikan pada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Oleh itu, dalam persaingan pembangunan di dunia, negeri ini perlu menggunakan strategi baharu untuk memacu pembangunan ekonomi dan mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu yang lebih inklusif dan lestari.

“Dengan itu, pembangunan M-WEZ ini dirancang untuk menjadi perubah rentak bagi ekonomi Melaka selaras dengan tonggak utama di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1166
Kongsi :
Previous post Sahur Kampung Bukit Piatu kembali meriah
Next post Harjeet Singh dilantik KSU KKM
Ubah saiz-+=