Sahur Kampung Bukit Piatu kembali meriah

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 11 April – Dua tahun sepi akibat pandemik COVID-19, namun Ramadan kali ini kembali ‘riuh’ dengan tradisi ‘ketuk-ketuk sahur’ kembali memecah hening bagi mengejutkan penduduk kampung bersahur.

Tradisi ini dikatakan sudah diwarisi sejak 75 tahun lalu oleh penduduk Kampung Bukit Piatu dan membabitkan semua peringkat umur.

Kumpulan ini bukan hanya memainkan lagu seperti Ali Baba ataupun Madu Tiga malah turut diselitkan lagu raya terkini disamping menggunakan alatan tradisional antaranya serunai, gong dan juga kompang.

Penduduk kampung Normah Senin, 66, berkata, penganjuran kali ini amat bermakna selepas terhenti seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dengan adanya ketuk-ketuk sahur ini ia dapat mengembalikan zaman ketika kanak-kanak.

“Seumur 65 tahun saya, tahun ini memang terasa kelainannya, dengan riuh bunyi alunan alat muzik, betul-betul terkenang waktu kanak-kanak dulu.

“Tidak kira tua, muda semua sama-sama dan rasanya tradisi ini sudah susah hendak jumpa,” katanya.

Bagi peniaga Norlila Kassim, 46, pula berkata, penganjuran ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung malah anak-anak muda mempunyai aktiviti berfaedah untuk dilakukan.

“Bukan sahaja memudahkan orang kampung hendak bangun sahur malah anak-anak muda ini ada aktiviti berfaedah untuk dilakukan.

“Seronok dan teruja apabila tiba Ramadan kerana suasana riuh rendah itu bunyi ketukan alat muzik memang ditunggu-tunggu selain memberi kepuasan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Piatu, Ramli Awang berkata, aktiviti itu memang ditunggu-tunggu ramai khususnya penduduk kampung.

“Kumpulan ini akan masuk ke setiap lorong rumah dan menggunakan alatan muzik berbanding dahulu yang hanya gunakan tin ataupun baldi.

“Aktiviti ketuk-ketuk sahur di kampung ini saban tahun diadakan. Tahun ini Alhamdulillah amat meriah dengan kesungguhan anak muda yang menjayakannya antara jam 3 hingga 5 pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

854
Kongsi :
Previous post Penjawat awam dilarang terima pingat, darjah kebesaran tidak diiktiraf – KM
Next post Blueprint M-WEZ rujukan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri
Ubah saiz-+=