Bubu naga makin berleluasa di perairan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

TANJUNG BIDARA 26 Okt. – Masalah membabitkan bubu naga, sejenis alat menangkap ikan yang diharamkan di negara ini, semakin berleluasa di perairan Melaka.

Hal itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee selepas menerima aduan daripada nelayan yang mengesan aktiviti berkenaan di laut dan sungai negeri ini.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan berkenaan dan akan mengadakan satu operasi besar-besaran dalam masa terdekat untuk membasmi penggunaan bubu naga untuk menangkap ikan.

“Bubu naga ini merosakkan ekosistem kerana ia turut memerangkap anak-anak ikan. Jadi, saya akan menggerakkan jabatan-jabatan terlibat untuk kita ambil tindakan segera.

“Tapi pada masa sama, kita juga meminta nelayan untuk menjadi mata dan telinga kami dengan menyalurkan input atau maklumat seperti gambar dan video si pelaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi dialog dengan nelayan Alor Gajah di sebuah chalet di Padang Kemunting, di sini.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata, pihaknya bukan sekadar mencari pelaku yang memasang bubu naga bahkan akan turut mengambil tindakan keras kepada peniaga bubu berkenaan.

“Bubu ini tidak boleh digunakan, jadi kenapa perlu ia dijual? Sebab itulah kita akan bertindak tegas kepada si penjual iaitu dengan bertindak merampas dan membatalkan lesen perniagaannya melalui pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Views:

731
Kongsi :
Previous post Lega dapat peluang kedua
Next post COVID-19: 1,240 kes baharu direkodkan, tertinggi setakat ini
Ubah saiz-+=