Lega dapat peluang kedua

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KLEBANG 26 Okt. – Kira-kira 160 peniaga kecil di Dataran Klebang, di sini menarik nafas lega apabila mendapat peluang kedua meneruskan perniagaan di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, difahamkan kesemua peniaga jualan but kereta (car boot sale) di kawasan itu diarahkan berpindah ke lokasi lain bagi tujuan mengumpulkan lebih ramai peniaga dalam satu kawasan.

Hal itu membuatkan peniaga-peniaga yang juga pengasas tapak perniagaan berkenaan membawakan isu terbabit ke pengetahuan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee yang kemudiannya menyelesaikan masalah berkenaan.

Jelas Norhizam, pihaknya telah menyelesaikan isu berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin setempat dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mengekalkan peniaga-peniaga di kawasan itu.

“Seperti kita tahu, pada musim COVID-19 ini ramai yang susah, jadi untuk memastikan ekonomi berkembang, kita perlu beri kelonggaran kepada peniaga-peniaga ini untuk terus kekal berniaga, kecualilah, jika kerajaan negeri mahu membuat pembangunan di kawasan terbabit.

PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Penternakan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

“Mereka ini adalah peniaga-peniaga asal yang menubuhkan tapak perniagaan ‘car boot sale’, sebab itulah saya membawakan masalah ini ke peringkat tertinggi dan akhirnya surat kebenaran untuk mereka kekal berniaga di kawasan Dataran Klebang telah dikeluarkan.

“Rata-rata peniaga meluahkan rasa syukur dan gembira dengan keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Norhizam mengingatkan peniaga-peniaga yang ada di situ untuk kembali kepada konsep asal mereka iaitu berniaga di but kereta masing-masing dan bukannya memasang khemah seperti yang ada sekarang.

“Antara isu sebelum ini ialah kebanyakan peniaga di dataran itu sudah lari dari konsep asal. Awal-awal meniaga di but kereta, tetapi sekarang dah mula pakai khemah.

“Jadi, konsepnya sudah seakan-akan ‘uptown’ atau ‘downtown’. Jadi ini, antara yang telah saya tegur dan InsyaAllah, selepas ini mereka akan kembali semula kepada ‘car boot sale’,” katanya.

Views:

520
Kongsi :
Previous post 83 nelayan terjejas aktiviti korek pasir terima sagu hati
Next post Bubu naga makin berleluasa di perairan Melaka
Ubah saiz-+=