Budaya makan, tidur lewat semakin membimbangkan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 23 September – Tidak mengamalkan gaya hidup sihat menjadi punca semakin ramai rakyat di negeri ini menghidap pelbagai jenis penyakit, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Ngwe Hee Sem.

Katanya, antara budaya tidak sihat yang sering diamalkan ialah makan secara berlebihan dan lewat tidur malam, selain kurangnya bersenam.

Jelas beliau, antara golongan paling ramai dikategorikan sebagai kurang aktif di negara ini adalah wanita dan pelajar.

“Data menunjukkan bahawa satu daripada dua orang dewasa di negara ini tidak aktif secara fizikal, selain tidak mengamalkan pemakanan sihat.

“Budaya seperti ini amat membimbangkan yang mana kita dapati tahap kesihatan di Melaka juga tidak seperti dulu hingga menyaksikan pertambahan pesakit di hospital-hospital di negeri ini.

“Jadi kita mahu budaya ini diubah yang mana Jabatan Kesihatan Negeri Melaka juga telah mengambil inisiatif menganjurkan program Jom Sihat di seluruh negeri dalam memastikan rakyat di negeri ini kekal sihat dan cergas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (Wellness Month) Peringkat Negeri Melaka 2023 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, kerajaan juga bakal memperluas program kesihatan membabitkan penjawat awam negeri dan persekutuan.

Jelas beliau, antara kertas putih yang telah diangkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah memastikan setiap jabatan dan agensi menganjurkan program senaman di tempat kerja.

“Di Melaka kita jangkanan program ini akan bermula pada bulan hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5410
Kongsi :
Previous post ‘Damak’, ‘Sofea’ kini haiwan angkat Mitsubishi Motors Malaysia
Next post Sungai Rambai destinasi agropelancongan
Ubah saiz-+=