Buka kampung baharu untuk generasi muda
MACHAP JAYA 2 Februari – Memastikan generasi muda memiliki kediaman sendiri menjadi antara yang terkandung dalam manifesto Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.
Tidak mahu janji tersebut hanyalah menjadi omong kosong, sebuah perkampungan baharu atau kampung tersusun yang bakal dibangunkan dan diberi keutamaan kepada golongan itu.
Beliau yang mesra disapa Ah Sem berkata, kawasan seluas kira-kira 40.47 hektar di Menggong yang diperoleh Kerajaan Negeri itu dicadang untuk dibangunkan perkampungan baharu.
“Ia kini dalam proses serahan tanah dan saya akan duduk berbincang bersama pihak yang berkaitan termasuk dengan pegawai tanah.
“Kita cadang buat kampung tersusun dan pecahkan lot. Fasa pertama kita akan fokuskan dahulu kepada orang tempatan.
“Begitu juga kepada generasi ketiga, penting untuk orang muda miliki kediaman sendiri kerana masih ada yang tidak memiliki kediaman dan tinggal bersama keluarga. Ada lot-lot untuk generasi ketiga dan ia dalam perancangan,” katanya.
RUMAH MAMPU MILIK
Menurutnya, sekiranya perancangan itu dapat dilaksanakan dan direalisasikan, ia memberi harapan baharu kepada generasi ketiga apabila impian memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan.
“Selain di Menggong ini, kita juga sudah berjumpa Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan berbincang untuk bangunkan Rumah Mampu Milik di kawasan Lesong Batu yang dianggarkan berkeluasan 6.47 hektar.
“Malah projek perumahan mampu milik di Kampung Kemuning yang terbengkalai sebelum ini juga, LPM sudah berjumpa dengan sebuah syarikat swasta dan akan diteruskan semula,” katanya.
PUSAT DATA
Hee Sem yang juga Exco Perpaduan Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, berkata, dalam membawa nafas baharu dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, beliau sedang berusaha agar cadangan pembinaan pusat data di Melaka dibangunkan di kawasan Machap Jaya
“Saya juga ada berjumpa dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan berbincang untuk pembinaan pusat data itu kalau berjaya, saya cadangkan buat di kawasan Machap Jaya.
“Berbanding perindustrian pembinaan pusat data lebih sesuai di Machap ini. Sekurang-kurangnya ada pembangunan di sini dan ada peluang pekerjaan baharu buat penduduk setempat khususnya orang muda,” katanya.
KAMPUNG BERSIH
Ujarnya, dalam memberi keselesaan kepada penduduk kampung serta mewujudkan suasana kehidupan harian yang aman harmoni, aspek kebersihan dan keindahan kampung turut diberikan penekanan.
“Kebersihan kampung memang kita fokuskan termasuk juga kecantikan landskap bagi keceriaan setempat ini kerana apabila kawasan bersih ia memberi suasana tenang serta aman.
“Sebelum ini kita sudah lakukan tetapi saya sudah maklum kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk teruskan acara 10,000 langkah sambil bergotong-royong membersihkan kawasan kampung.
“Ia akan dilakukan dua minggu sekali di mana selain berjalan kaki untuk menyihatkan badan, kita akan turut mengutip sampah di sepanjang jalan, sekali gus dapat membersihkan Machap Jaya ini,” katanya.
Katanya, kepercayaan dan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada dirinya adalah amanah yang perlu dilaksanakan sebaiknya disebabkan itu dia sentiasa mencuri masa serta peluang untuk bertemu mata mendengar keluhan rakyat.
“Saya lebih suka turun untuk berjumpa penduduk kerana dari situ akan tahu apa sebenarnya pemasalahan dihadapi.
“Untuk kebajikan juga seperti biasa saya bersama pasukan akan turun untuk menyampaikan sumbangan ini bagi pastikan kebajikan mereka terjaga,” katanya.
BIODATA
Nama: Ngwe Hee Sem
Umur: 54
Karier:-
– Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya (2021 – kini)
Pendidikan:-
– Bachelor of Business Administration in Economics, University of Tennesse
Politik:-
– Ahli Jawatankuasa MCA Pusat
– Setiausaha Organisasi MCA Perhubungan Negeri Melaka
– Naib Ketua Bahagian MCA Alor Gajah
INFO DUN Machap Jaya:
Jumlah penduduk : 40,000
Kampung : 12
Taman Perumahan : 20
Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Surau: 14
Tokong: 10
Kuil: 13
Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 6
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 3
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 5
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.