Bukan semua peniaga naikkan harga makanan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PENGKALAN BATU 15 Mac – Kenaikan kos bahan mentah menjadi antara cabaran yang dihadapi peniaga di seluruh negara, termasuk di Negeri Melaka.

Meskipun begitu, bukan semua peniaga tergamak menaikkan harga dan ada yang memilih untuk mengekalkan harga jualan bagi bersolidariti bersama orang ramai.

Menurut peniaga takoyaki Muhammad Hafizul Omar, 35, dia mengambil pendekatan untuk mengekalkan harga jualan seperti tahun lepas selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk persaingan.

“Tidak dinafikan saya turut terkesan dengan kenaikan bahan mentah tetapi untuk masa ini saya cuba untuk terus kekalkan harga sama seperti tahun lepas.

“Untuk jualan takoyaki banyak juga persaingannya jadi saya cuba kekalkan tipulah kalau kata tiada untung, tetap ada cuma tidaklah banyak walaupun begitu saya berpuas hati,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20240314 212752 889
PENIAGA Muhammad Hafizul Omar, menyediakan juadah takoyaki di Bazar Ramadan Pantai Peringgit, Pengkalan Batu, Melaka. Foto: Muhammad Rasul Azli Samad

Bagaimanapun, ada juga peniaga yang terpaksa menaikkan harga makanan kerana tidak mampu menampung kenaikan kos harga bahan mentah yang tinggi.

Bagi peniaga kuih-muih tradisional Syafie Khoo Abdullah, 59, walaupun pada awalnya dia cuba untuk mengekalkan harga jualannya seperti kuih bongkok dan kuih lopes, namun disebabkan lonjakan harga bahan mentah niat itu terpaksa dilupakan.

“Boleh dikatakan hampir kesemua bahan mentah seperti tepung, tepung beras, gula dan beras pulut naik harga hampir dua kali ganda.

“Jadi terpaksalah saya naikkan harga jualan seperti kuih bongkok sebelum ini berharga RM1.50 kini RM2 setiap satu dan kuih lopes pula dinaikkan kepada RM1 setiap satu manakala kuih lain seperti kaswi pula tiga ketul RM2,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Mohd Razi Hamid, 40, yang terpaksa menaikkan harga jualan martabak RM1 berbanding RM6 sebelum ini.

“Ikutkan dahulu semasa awal berniaga sekitar tahun 2009 sebiji martabak baru RM3.50 dan selepas itu mula naik tetapi kebelakangan ini paling mencabar apabila terpaksa jual dengan harga RM7.

“Kami peniaga perlu ikut harga semasa bagi menampung kenaikan kos barangan mentah namun begitu perlu ada hadnya tidak boleh terlalu tinggi kerana bagi saya berniaga perlu ada ‘hati’,” kata pemilik Murtabak Rendang Pak Tan.

Jelasnya, dia bersyukur apabila pengunjung terutama pelanggan tidak merungut apabila harga terpaksa dinaikkan sebaliknya mereka amat memahami faktor kenaikan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post Onde-onde tiga rasa jadi tarikan
Next post TMM2024: Tempahan hotel di Melaka meningkat 70 peratus
Ubah saiz-+=