Onde-onde tiga rasa jadi tarikan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PENGKALAN BATU 14 Mac – Kepelbagaian juadah dan kuih-muih tradisi yang dijual di bazar ramadan pastinya menjadi tumpuan ramai walaupun terdapat beraneka pencuci mulut lain.

Antara yang menjadi ‘buruan’ ramai dan popular adalah buah melaka atau dikenali juga onde-onde.

Menariknya, kuih tradisional yang dijual di Bazar Ramadan Peringgit bukanlah yang biasa dilihat, sebaliknya ia tampil dengan keunikan apabila menampilkan juadah onde-onde tiga rasa.

Menurut Nur Azlin Rahman, 21, percubaan menjual kuih itu adalah cetusan kedua orang tuanya pada tahun 2021 dan tidak menyangka kelainan itu diterima ramai.

Katanya, walaupun ramai peniaga yang menjual onde-onde, namun juadah diterimanya berbeza kerana mempunyai tiga rasa iaitu pandan, pulut hitam dan durian, selain ia dimasak panas-panas untuk orang ramai.

“Fokus kita hanya menjual onde-onde sahaja kerana ramai peminatnya. Onde-onde ini kita buat dari awal hingga masak di sini dan itu menjadi tarikan selain saiznya yang agak besar.

“Ini tahun keempat berniaga di sini dan Alhamdulillah sambutan menggalakkan apabila 17 kilogram tepung digunakan pada hari biasa dan akan meningkat pada hujung minggu,” katanya.

Img 20240314 204811 252
SYAFIE Khoo bersama cucunya, Muhammad Faris Ahmad Firdaus, 11, menunjukkan kuih lopes dan kuih bongkok yang dijual di Bazar Ramadan Pantai Peringgit, Pengkalan Batu. Foto: Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, seorang lagi peniaga kuih tradisi Syafie Khoo Abdullah, 59, berkata, kuih lopes dan bongkok adalah menu wajib yang dijual saban tahun di bazar ramadan berkenaan kerana ada penggemarnya.

“Kuih-kuih ini dibuat sendiri oleh isteri dan walaupun agak sukar tetapi kerana ada permintaan kami sediakan juga. Kuih bongkok misalnya tidak banyak orang yang jualnya.

“Kami masih gunakan cara tradisional untuk kuih lopes kita bungkuskan dengan daun pisang sebelum keluarkan dan disalut dengan kelapa parut. Malah kuih bongkok juga kita kekal dibungkus dalam daun pisang juga kerana sebelum ini pernah gunakan bekas plastik tetapi pelanggan tidak mahu kerana tiada aroma daun pisang,” katanya.

Warga emas itu yang ditemani cucunya Muhammad Faris Ahmad Firdaus, 11, berkata, pada hari biasa isterinya akan menyiapkan antara 200 hingga 300 bungkus kuih lopes dan bongkok untuk dijual dan jumlah itu akan meningkat pada hari Sabtu dan Ahad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2776
Kongsi :
Previous post Polis minta keluarga mangsa serangan anjing liar tampil buat laporan
Next post Bukan semua peniaga naikkan harga makanan
Ubah saiz-+=