TMM2024: Tempahan hotel di Melaka meningkat 70 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 15 Mac – Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) memberi impak positif bukan sahaja kepada sektor pelancongan, bahkan perhotelan di negeri ini.

Hal itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif M Corp Hotel Sdn Bhd Sazali Sabri yang memaklumkan, sejak dua bulan pertama TMM2024 berlangsung, tempahan lebih 200 bilik di Hotel MITC meningkat kepada 70 peratus.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, jelas beliau, kadar tempahan yang diterima pada awal tahun kebiasaannya hanyalah sekitar 40 hingga 50 peratus sahaja.

Namun, ujarnya peningkatan ketara jumlah tempahan sejak TMM2024 dilancarkan seakan memberi petanda positif kepada kebangkitan industri perhotelan selepas terjejas teruk akibat COVID-19 sebelum ini.

“Alhamdulillah, pada Januari dan Februari tempahan yang kita terima cukup menggalakkan terutamanya sewaktu cuti sekolah dan ketika cuti umum 20 Februari lalu.

“Malah boleh dikatakan tempahan daripada pelancong luar negara juga semakin meningkat yang mana kita sering mendapat tempahan membabitkan kumpulan besar daripada pelancong dari China.

“Semua ini memberi satu petanda cukup baik selepas lebih dua tahun industri hotel terkesan dengan pandemik COVID-19 dan kita berharap sambutan hebat ini akan berterusan sehingga ke hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bufet Ramadan Hotel MITC yang disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi M Corp Hotel Sdn Bhd Abdul Hakim Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Datuk Arif Shah Abdullah Sani.

Mengulas lanjut, Sazali berkata, pihaknya mewakili sektor perhotelan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menjadi figura bertanggungjawab dalam mewajah industri pelancongan Melaka sehingga menjadi tumpuan di seluruh dunia.

“Walaupun ada masanya kita (pemain industri pelancongan) agak skeptikal dengan idea dan gagasan Ketua Menteri, namun beliau berjaya membuktikan apa yang dilakukan itu berjaya.

“Sebagai contoh cuti umum Tarikh Pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari lalu yang menyaksikan Melaka dipenuhi pengunjung dan pelancong sehingga impaknya dirasai bukan sahaja oleh pengusaha hotel, bahkan peniaga-peniaga kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post Bukan semua peniaga naikkan harga makanan
Next post Berniaga sambil kongsi rezeki
Ubah saiz-+=