Bukan semua sekolah rendah di Melaka padat – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 20 Mac – Kerajaan Negeri memandang serius isu kepadatan murid di beberapa sekolah rendah kerana dikhuatiri boleh menjadi punca kepada ketidakselesaan sewaktu pembelajaran di dalam kelas.

Mengulas perkara itu Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata bagaimanapun tidak semua sekolah rendah di Melaka berdepan masalah itu.

“Saya boleh sentuh sedikit tentang jumlah murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerubong ini, ada ibu bapa yang datang berjumpa saya mohon untuk masukkan anak mereka ke sekolah ini melibatkan hampir 15 kanak-kanak.

“Sebelum ini saya kerap melawat SK kerubong dan tahun keadaannya, kalau benarkan juga masuk, saya tahu itu akan mengakibatkan murid menjadi tidak selesa. Tidak boleh belajar dan menumpukan perhatian sepenuhnya.

“Kita boleh lihat dalam kelas di sekolah ini menjadi sangat padat. Tetapi bukan semua kerana ada sekolah yang selesa dan berada dalam keadaan baik seperti di Tanjung Minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena Hari Pertama Persekolahan Sesi Akademik 2023/2024 yang bertemakan ‘Gembira Ke Sekolah’ di SK Kerubong, di sini, hari ini.

Katanya, isu berkenaan bukan satu masalah yang besar di Melaka, namun Kerajaan Negeri berusaha memastikan keadaan itu dapat diatasi dari semasa ke semasa.

“Sebenarnya isu kepadatan murid ini bukan di Melaka sahaja, malah seluruh negara, tetapi insya-Allah ada berita gembira untuk para ibu bapa atau penduduk Krubong kerana tidak lama lagi SK Krubong 2 akan disiapkan, jadi proses kepadatan murid ini akan dapat diselesaikan.

“Bagaimanapun kita mohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan jabatan pendidikan untuk melihat bagaimana cara membantu sekolah-sekolah yang padat dengan murid ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2456
Kongsi :
Previous post 141,089 murid, pelajar Melaka mula bersekolah hari ini
Next post Agong, Raja Permaisuri lakar sejarah berangkat ke istiadat perbarisan Hari Polis ke-216
Ubah saiz-+=