Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang meriah dihadiri 2,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 5 Ogos – Kira-kira 2,000 rakyat Melaka membanjiri Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi memeriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 peringkat negeri.

Bertemakan Tekad Perpaduan Penuhi Harapan bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, program tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf dalam ucapannya berkata, tema itu diambil sejajar dengan aspirasi dibawa Kerajaan Persekutuan untuk melahirkan generasi Malaysia MADANI di bawah satu bumbung perpaduan.

Justeru katanya, bagi memacu kegemilangan negara, rakyat perlu menghayati dan mengamalkan Prinsip Rukun Negara yang menjadi panduan untuk mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian latar belakang agama dan bangsa.

IMG_9741
ANTARA tetamu dan pengunjung yang hadir pada pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Dataran MBMB.

“Di peringkat Kerajaan Negeri Melaka, saya telah meletakkan garis panduan kepada semua penjawat awam supaya menyanyikan lagu Negaraku dan Negeri Melaka pada setiap hari Isnin.

“Ia bagi memupuk semangat patriotisme dan berharap ia menjadi contoh “role model” kepada semua rakyat Melaka,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin ean Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman serta Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka, Mohd Yusni Mohamed Ali.

Pelancaran program turut dimeriahkan dengan Konsert Gegau Merdeka dipersembahkan barisan artis seperti Dato Nash, Marsha Milan, Ramlah Ram, Afieq Shazwan, Tia Jinbara, Naqiu, Santesh, Daniel Lee dan P Radhi.

Turut dipersembahkan, persembahan deklamasi sajak oleh Juara Kebangsaan 2022, Suffian Khirham dan syair dari Umar Huzair serta persembahan Dondang Sayang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3536
Kongsi :
Previous post Bayaran secara dalam talian LMM, LKM masih dalam fasa ujian – Anthony Loke
Next post Kibar Jalur Gemilang semai patriotisme, RM3,000 menanti pemenang
Ubah saiz-+=