Sorting by

×

Buruh maut, motosikal dirempuh lori

Masa Membaca:57 Saat

ALOR GAJAH 7 Mac – Seorang buruh maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori yang membawa muatan minyak hitam dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di sini petang semalam.

Dalam kemalangan pada jam 2.45 petang itu, Rosly Ja’apar, 48 meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati lor dipandu lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menghala ke Bukit Rambai.

Katanya, berdasarkan keterangan lisan pemandu lori berkenaan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai melawan arus dari arah Ayer Keroh sebelum melintas di hadapan lori terbabit.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan merempuh motosikal terbabit di tengah-tengah simpang lampu isyarat berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, siasatan di lokasi kejadian mendapati lebuh berkenaan mempunyai tiga lorong di laluan lori berkenaan manakala tiga lagi lorong bertentangan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2431
Kongsi :
Previous post Dondang Sayang Melaka ‘pukau’ penduduk Yala, Thailand
Next post Roslan dilantik Setiausaha Politik Ketua Menteri yang baharu
Ubah saiz-+=