Sorting by

×

Cadang bina balai bomba baharu di Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ASAHAN 27 April – Cadangan pembinaan balai Bomba baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan mampu memendekkan lagi tempoh bertindak kes kecemasan yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini cadangan itu berada di peringkat ‘Rolling Plan’ Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kita sedang menunggu keputusan pihak kementerian, kerajaan negeri menyenaraikan projek ini salah satu keutamaan untuk dilaksanakan.

“Cadangan tapak setakat ini adalah di Selandar, Asahan dan Nyalas. Bagi Asahan dan Selangar kita sudah kenal pasti tapak, pembinaan balai bomba baharu ini memerlukan tanah seluas dua ekar (0.8 hektar),” katanya.

Fairul Nizam berkata, hasil perbincangan bersama JBPM Melaka kedua-dua pihak bersetuju membina ‘fire post’ sementara pembinaan balai bomba dalam perancangan siap sepenuhnya.

“Kalau ada balai bomba baharu nanti masa bertindak lebih cepat. Sebelum ini masa bertindak dari Jasin ke Asahan seterusnya ke Pekan Selandar ambil masa 30 minit baru sampai,” katanya kepada MHI.

Terdahulu Fairul Nizam mengadakan lawatan ke tapak ‘fire post’ bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka. Pertemuan itu bagi membincangkan berkenaan pembinaan balai bomba di beberapa lokasi cadangan dalam DUN Asahan 19 April lalu.

Katanya dengan pembinaan balai bomba baharu itu tempoh bertindak pihak bomba dapat dipercepatkan 15 hingga 20 minit sahaja.

“Sekarang ini bantuan balai bomba terdekat adalah dari Gemencheh, kejadian di Melaka tapi laporan disediakan oleh balai bomba luar negeri kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1034
Kongsi :
Previous post Dacing duduk masih relevan
Next post Melaka teliti cadangan beri faedah kesihatan kepada wartawan sambilan
Ubah saiz-+=