Dacing duduk masih relevan
LENDU 27 April – Tidak ramai peniaga memiliki kemahiran menggunakan dacing duduk, iaitu alat timbang yang menggunakan kepingan tembaga yang boleh ditambah atau dikurangkan bagi mendapatkan bacaan sebenar berat barang ditimbang.
Dunia siber kini menyaksikan penggunaan dacing duduk yang popular sekitar tahun 1970-an hingga awal 1990-an semakin pupus ditelan zaman berikutan semakin ramai beralih kepada alat timbang konvensional atau digital dianggap lebih mudah serta tidak cerewet.
Namun bagi peniaga Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 56, dia sedia berkongsi kemahiran mengendalikan alat timbang itu dengan generasi muda kerana dianggap sebagai satu cabang seni.
Kini dia giat mengajar anak saudaranya Muhammad Nur Nukman Yaakob, 18, menggunakan alat itu khusus bagi menimbang barangan dengan berat melebihi 20 kilogram (kg).
“Banyak alat timbang konvensional sekarang ini hanya mampu menampung beban barangan maksimum 20 kg, kalau terlebih jarumnya akan rosak. Dacing duduk ini boleh tampung berat hingga 50 kg.
“Saya belajar menggunakan dacing duduk daripada ayah dan beberapa individu lain yang kebanyakannya sudah berniaga sejak tahun 1970-an.
“Kita harus bijak menggunakan kaedah menambah dan menurunkan batu timbang, iaitu tembaga yang masing-masing menunjukkan berat berbeza berdasarkan saiznya,” katanya ketika ditemui di kedai runcit diusahakannya di Kampung Solok Duku, semalam.
Selain menjual pelbagai barangan runcit, Shamsul turut menjual dan memproses ayam segar, membeli itik dan ayam kampung kemudian dipasarkan kepada pelanggan sekitar.
Sementara itu Muhammad Nur Nukman berkata, mengedalikan dacing duduk agak mencabar kerana perlu tahu untuk menambah atau mengurangkan batu timbang.
“Pada mulanya memang susah, tapi lama-kelamaan saya mula mendapat rentak. Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh menimbang itik atau ayam kampung dihantar penduduk sekitar ke kedai runcit kami,” katanya.
Selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mac lalu, Muhammad Nur Nukman membantu Shamsul menguruskan jualan barangan, sekali gus menimba ilmu perniagaan.
Katanya, sebelum ini dia hanya melihat bapa saudaranya menimbang ayam kampung dan itik dengan menggunakan dacing duduk tanpa mahu mengambil tahu kaedah menggunakannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.