Cadang Pusat Pendidikan Biodiversiti diperluaskan sebagai pelancongan pendidikan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TANJUNG TUAN 10 Julai – Pusat Pendidikan Biodiversiti yang terletak di Tanjung Tuan, Port Dickson sesuai dijadikan lokasi pelancongan berteraskan pendidikan di Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, lokasi yang terletak di hujung negeri itu akan memupuk kesedaran dan minat pencinta alam bagi mendekati tarikan alam sekitar.

Beliau berkata, perkhidmatan ditawarkan di kawasan berkenaan adalah percuma demi menarik minat pencinta alam untuk berkunjung ke negeri ini.

“Kita cadang untuk pusat ini diperluaskan lagi tarikan yang ada ke kawasan ini kerana kawasan ini merupakan kawasan yang penuh dengan daya tarikan alam semula jadi.

“Ia mampu memupuk kesedaran orang ramai lebih-lebih lagi kawasan ini mempunyai kawasan pantai dan tarikan hutan simpan sesuai dijadikan sebagi pelancongan rekreasi dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannnya di Majlis Penyerahan Perangkap Hidupan Liar bagi Program Basmi Musuh Tanaman Kerajaan Negeri Melaka diadakan di Pusat Pendidikan Biodiversiti Tanjung Tuan Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Low Chee Leong dan Pengarah Perhilitan negeri, Petra Sulai

Terdahulu, dalam program berkenaan sebanyak 100 unit perangkap corong disediakan untuk diagihkan bagi mengawal gangguan hidupan liar di Melaka.

Secara keseluruhan, Perhilitan Melaka menyediakan sebanyak 316 unit perangkap membabitkan kos sebanyak RM1.9 juta untuk diagihkan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Sementara itu, Petra Sulai berkata, pihaknya menyambut baik saranan Kerajaan Negeri bagi membuka kawasan itu sebagai antara daya tarikan pelancong di Melaka.

Jelasnya, pihaknya bersedia menawarkan pakej pelancongan hanya kepada sesebuah kumpulan pelancong sahaja khususnya buat pelajar mahupun mana mana institusi bagi menerapkan kesedaran.

“Kita tidak membukanya kepada orang perseorangan tetapi ia mesti dalam berkumpulan sekurang-kurangnya sekitar 50 orang untuk sekali perjalanan.

“Kita membuka kepada mana mana institusi untuk menerapkan kesedaran, pendidikan dan penyelidikan dalam program-program berteraskan pelancongan pendidikan.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi Pejabat Perhilitan negeri kerana kawasan ini kaya dengan tarikan burung hijrah, aktiviti jungle trekking malah kita turut menerima kemasukan bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi kempen penanaman pokok dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1129
Kongsi :
Previous post Pasang perangkap di setiap DUN atasi ancaman haiwan liar
Next post Penemuan mayat dalam kanvas cetus tanda tanya
Ubah saiz-+=