Sorting by

×

Cadang tawar pakej pelancongan dua hala Yala-Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Kerajaan Negeri Melaka bersama pentadbiran Wilayah Yala, Thailand bercadang mewujudkan pakej pelancongan dua hala di antara wilayah itu dan negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkara itu menjadi antara yang dibincangkan pada sesi kunjung hormat ke pejabat Datuk Bandar Yala, Phongsak Yingchoncharoen, baru-baru ini.

Menurutnya, pakej tersebut dijangka boleh ditawarkan bermula tahun ini bagi merancakkan kembali sektor pelancongan dua negara selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Ini juga bagi mencapai sasaran 18.5 juta pelancong ke Melaka yang disasarkan Kerajaan Negeri Melaka menjelang Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Institut Warisan Melaka (INSWA).

Menurut Muhammad Jailani, lawatan rasmi ke Yala pada 24 hingga 26 Februari lalu diadakan selepas menerima jemputan Majlis Perbandaran Yala dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sebagai panel jemputan bagi Seminar “Live Happily On Culture Diversity” yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Yala, Thailand.

Selain Kerajaan Negeri Melaka yang dijemput mewakili Malaysia,seminar itu turut dihadiri panel jemputan dari Indonesia dan Thailand.

Pada lawatan rasmi itu, Muhammad Jailani dan delegasi turut dijemput ke Majlis Perasmian Festival Hari Melayu Yala 2023.

Beliau dan delegasi di bawah portfolio pelancongan turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Samila Beach, Songkhla dan Floating Market, Hat Yai.

Menurut Muhammad Jailani, lawatan itu diadakan bertujuan untuk melihat tarikan yang berpotensi dibawa ke Negeri Melaka sebagai produk pelancongan baharu.

Selain itu, delegasi diketuai beliau turut mengadakan pertemuan bersama Konsulat Jeneral Malaysia Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid yang telah memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk membuat pameran berkaitan sejarah warisan Negeri Melaka dan produk pelancongan Melaka di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali terima kunjung hormat pengamal media Melaka
Next post Isu darurat banjir antara dibangkit di Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=