Cari penyelesaian isu sampah domestik, industri – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Kerajaan Negeri akan mengadakan perjumpaan bersama 500 pemilik premis Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (CII) Khamis ini bagi menyelesaikan isu pengurusan sisa sampah.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata perjumpaan itu bertujuan mencari penyelesaian berikutan penamatan konsesi pemungut sampah yang terlibat, selain mendapatkan persetujuan awal bersama pemilik premis.

“Persetujuan awal semua pemilik premis sebelum ini adalah mereka diminta untuk menguruskan sendiri semua sisa-sisa CII bermula 1 Februari lalu. Kita telah memberi notis selama 90 hari kepada semua premis untuk melantik kontraktor masing-masing.

“Hari ini timbul isu lain mengenai kaedah pengurusan sampah tersebut, jadi kita selaraskan untuk mengadakan satu pertemuan dengan 500 pemilik premis ini pada 9 Mac jam 3 petang di Dewan Majlis Perbandaran Jaisn (MPJ) Lipat Kajang, Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pelaksanaan Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SKIM) Bagi Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (CII) Negeri Melaka di Bilik Tun Mutahir Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohd Nalif@Zawawi.

Katanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini sedang mengkaji dan meneliti semula cadangan melantik kontraktor pemungut sampah domestik (komersial) yang telah ditamatkan perkhidmatan di semua kawasan PBT.

“Pertama kita cadangan pihak industri melantik kontraktor pungutan sampah, pada masa sama ia (kontraktor) akan memungut kedua-dua sampah iaitu sampah industri dan sampah komersial.

“Kedua PBT sendiri akan melantik dan menguruskan sisa sampah domestik dan industri ini, dua situasi berbeza ini kita akan selaraskan pada perjumpaan nanti,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1698
Kongsi :
Previous post Keputusan UPKK Tahun 2022 Khamis ini
Next post PTHM tingkatkan penggunaan teknologi solar
Ubah saiz-+=