COVID-19: Dua kluster baharu di Melaka babit komuniti dan sebuah kilang

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Melaka merekodkan pertambahan dua lagi kluster baharu hari ini membabitkan kluster tempat kerja dan komuniti.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan dua kluster itu ialah Kluster Industri Kelemak dan Kluster Jalan Tanjung Minyak.

Kluster Industri Kelemak melibatkan sebuah kilang di kawasan perindustrian Alor Gajah yang dipercayai bermula daripada jangkitan komuniti sebelum merebak di tempat kerja dan asrama kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal semasa melakukan aktiviti bersama.

Sehingga kini, seramai 27 orang kontak telah disaring dan 25 kes dikesan positif, manakala 361 pekerja lagi akan menjalani saringan dalam masa terdekat.

“Kilang telah ditutup dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 20 Mei sehingga 3 Jun 2021 depan,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Kluster Jalan Tanjung Minyak yang berpunca daripada jangkitan komuniti pula sehingga kini merekodkan 22 kes positif daripada 46 kontak rapat yang disaring.

Kes berkenaan dipercayai berkait rapat dengan perjalanan ahli keluarga kes indeks yang berulang-alik menjalankan aktiviti perniagaan di luar Melaka.

Sementara itu, JKN Melaka turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kematian pada hari ini membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun dan wanita berusia 35 tahun.

Sehingga hari ini, terdapat 1,163 kes sedang dirawat di Melaka dengan 52 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 12 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post Tiada ‘lockdown’, PKP 3.0 diperketatkan – Pejabat Perdana Menteri
Next post Semua PPS mangsa banjir di Melaka ditutup
Ubah saiz-+=