COVID-19: Jumlah kes mendadak hanya melibatkan banduan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat
KES positif COVID-19 di Melaka buat pertama kalinya mencatat 98 kes semalam, sekali gus menjadi angka tertinggi pernah direkodkan dalam sehari. Kesemua kes tersebut hanya melibatkan kalangan banduan sahaja dan tidak tidak merebak ke komuniti.

AYER KEROH 18 Dis. – Rentetan peningkatan kes positif COVID-19 di Melaka secara mendadak iaitu 98 kes semalam, hanya melibatkan kalangan banduan sahaja dan tidak tidak merebak ke komuniti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, siasatan mendapati punca berlaku penularan tempatan jangkitan COVID-19 di Pusat Koreksional Jasin (PKJ) disebabkan kemasukan banduan dan Orang Kena Tahan (OKT) baru dari Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh yang sedang mempunyai kluster COVID-19 iaitu Kluster Jalan Harapan dan perebakan jangkitan juga disebabkan kepadatan yang melebihi kapasiti di PKJ.

“Bagi PKJ, kemasukan baru banduan dan OKT bermula pada 22 November 2020 dan sehingga 16 Disember 2020, jumlah keseluruhan kemasukan adalah seramai 880 orang dan semua mereka telah menjalani saringan COVID-19 yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

“Sehingga 16 Disember 2020 juga, sebanyak 35 kes positif COVID-19 telah dikesan dan dimasukkan ke Hospital Melaka dan semua mereka dalam keadaan stabil.

“Pada 17 Disember 2020, terdapat pertambahan 98 kes positif COVID-19 dalam kalangan banduan dan OKT baru yang ditempatkan di PKJ, menjadikan jumlah kes positif yang dikesan dari institusi ini adalah seramai 133 orang iaitu 110 orang adalah
warganegara, manakala 23 orang lagi bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan medianya yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka sebentar tadi.

Beliau turut menjelaskan peningkatan kes COVID-19 hanya tertumpu di penjara PKJ dan keadaan semasa adalah terkawal.

“Saya ingin menjelaskan peningkatan kes COVID-19 tertumpu di penjara PKJ dan tiada jangkitan di komuniti dan keadaan adalah terkawal memandangkan semua kes tertumpu di penjara.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Melaka untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

Artikel Berkaitan: COVID-19: Kes tertinggi direkodkan, Jasin kini zon merah

Views:

585
Kongsi :
Previous post “Kalau tuntut hak kena gantung 18 bulan, baik saya pukul orang”
Next post COVID-19: Melaka cadang laksana PKPD di Pusat Koreksional Jasin
Ubah saiz-+=