COVID-19: Kluster baharu dikesan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 17 Jan. – Melaka merekodkan pertambahan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Pantai Peringgit yang menyebabkan 24 individu positif COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kes itu mula dikesan membabitkan seorang wanita yang mendapat jangkitan daripada anaknya dari Johor Bahru.

“Sehingga kini seramai 128 orang sudah disaring membabitkan kontak rapat dari Daerah Melaka Tengah dan Jasin,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad berkata terdapat pertambahan 60 kes positif baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes COVID-19 di Melaka melonjak kepada 1,960 kes.

Katanya, ia membabitkan Kluster Anak Air (empat kes), Kluster Dialisis Malim (dua kes), Kluster Pantai Peringgit (empat kes), Kluster Teknologi Kesidang (empat kes), Kluster Telok Mas (tiga kes) dan Kluster Tembok Kemus (dua kes).

Rahmad berkata, kes hari ini turut disumbang hasil saringan Orang Kena Tahan (OKT) iaitu seramai dua orang, saringan bergejala (enam orang), saringan kerja (empat orang), saringan ill/SARI (1 orang) dan saringan kontak rapat (47 orang).

“Manakala, mukim terbabit adalah Alai, Balai Panjang, Bachang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bukit Baru, Bertam, Bukit Rambai, Cheng, Klebang Besar, Klebang Kechil, Krubong, Paya Rumput.

“Selain itu, Sungai Udang, Tanjung Minyak, Telok Mas, Tanjung Kling, Sungai Petani, Sungai Baru Ulu, Kelemak, Kuala Linggi, Rembia, Sungai Baru Ilir, Taboh Naning, Merlimau, Umbai dan Batang Melaka,” katanya lagi.

Menurut Rahmad lagi, sehingga kini 484 pesakit sedang dirawat termasuk 10 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga memerlukan bantuan alat pernafasan.

Views:

323
Kongsi :
Previous post Ladang Rakyat Kenaf secara integrasi diperluas seluruh negara
Next post Mangsa banjir di Sabah terus meningkat, Pahang dan Sarawak makin pulih
Ubah saiz-+=