Ladang Rakyat Kenaf secara integrasi diperluas seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PASIR SALAK, 17 Jan. – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia bekerjasama dengan agensi pertanian negeri di seluruh negara bagi memperluaskan projek Ladang Rakyat Kenaf secara integrasi.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sebagai contoh agensinya, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sudah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (PPPNP) untuk melaksanakan projek itu.

“Kita harap program seumpama ini dapat digerakkan ke negeri lain kerana bila program itu dibuat secara usaha sama dengan agensi negeri, pengurusannya akan lebih terancang dan teratur.

“Program ini bermusim dengan semusim hanya empat bulan sahaja… boleh dipelbagaikan lagi projek seumpamanya di kawasan-kawasan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Ladang Rakyat Kenaf PPPNP di Ladang Gugusan Lambor di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, projek perintis itu membabitkan kawasan ladang kelapa sawit milik PPPNP seluas 563 hektar yang mana 25 peratus atau 140 hektar akan ditanam dengan kenaf di lorong pelepah sawit belum matang.

“Projek integrasi yang pertama itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun melibatkan 70 pekebun kecil,” katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, tanaman kenaf mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat bulan dan dijangka dapat menyumbang tambahan pendapatan kepada peserta projek sehingga RM4,000 semusim.

Mohd Khairuddin berkata, menerusi projek perintis itu, LKTN bertanggungjawab merancang, mengendalikan, menyelaras termasuk memantau aktiviti penyelidikan serta pembangunan berkaitan penanaman, pengekstrakan, pemprosesan dan pemasaran serta keluaran Kenaf.

LKTN juga memperuntukkan sebanyak RM2,385 sehektar sebagai insentif bagi Program Pembangunan Tanaman Baru Kenaf kepada peserta yang berminat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin mengulangi kenyataan bahawa pihaknya serius dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit dan ia terbukti menerusi tindakan undang-undang oleh kementerian terhadap Kesatuan Eropah (EU) khususnya Perancis dan Lithuania pada 15 Jan lalu.

“Kita nak bawa Eropah ke meja pengadilan dan perundingan supaya tiada diskriminasi. Kita percaya Pertubuhan Perdagangan Dunia adalah platform yang akan berlaku adil untuk semua pihak,” katanya.- BERNAMA

Views:

1154
Kongsi :
Previous post NUTP kesal guru ditohmah ‘makan gaji buta’
Next post COVID-19: Kluster baharu dikesan di Melaka
Ubah saiz-+=