COVID-19: Lebih 8,000 pekerja kilang Kluster Berendam jalani saringan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MELAKA 12 Nov. – Lebih 8,000 pekerja sebuah kilang di Batu Berendam di sini, akan menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh terdekat berikutan terdapat kakitangan mereka dikesan positif wabak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata langkah itu diambil kerana berlakunya peningkatan kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang sehingga wujud kluster baharu dikenali sebagai Kluster Berendam.

Katanya, sehingga semalam, kluster Berendam merekodkan 19 kes aktif dan 18 daripadanya sedang dirawat di Hospital Melaka.

“Kluster Berendam melibatkan sebuah kilang bersaiz besar dan sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Melaka dengan kerjasama pihak kilang melakukan saringan ke atas 2,118 orang melibatkan 1,892 pekerja dan 226 kontak rapat terdiri daripada ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah itu, 240 kakitangan masih menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 dan saringan menyeluruh terhadap semua pekerja kilang itu akan dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Melaka mendapat kerjasama yang baik daripada pihak kilang dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 dan kos saringan ditanggung pengurusan kilang berkenaan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Melaka dan kilang berkenaan juga mencari penyelesaian terbaik bagi  mengekang penularan COVID-19 dari Kluster Berendam memandangkan pekerja kilang berkenaan tidak tinggal berpusat seperti di asrama pekerja sebaliknya dari ketiga-tiga daerah di negeri berkenaan.

Beliau berkata fasa pertama Kluster Berendam dikesan selepas salah seorang pekerja kilang tersebut yang baru pulang dari zon merah disahkan positif COVID-19 menerusi saringan wajib yang dijalankan pihak kilang.

Katanya, penularan dalam kalangan pekerja kilang tersebut dikesan selepas menghadiri majlis sambutan hari jadi di sebuah resort di Alor Gajah.

— BERNAMA

Views:

411
Kongsi :
Previous post Mangsa bimbang banjir lumpur, tembok runtuh berulang
Next post Piala Malaysia dibatalkan
Ubah saiz-+=