Piala Malaysia dibatalkan

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

MELAKA 12 Nov. – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan kejohanan TM Piala Malaysia 2020, berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan, MFL menerusi kenyataan media hari ini akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN yang mana kerajaan tidak membenarkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan TM Piala Malaysia 2020.

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL telah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan tetapi seperti saya katakan tadi MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.

“Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana pembatalan ini terpaksa dilakukan di mana kita tidak boleh lagi menangguhkan kempen TM Piala Malaysia 2020 ke bulan yang lain kerana kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

“Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh TM Piala Malaysia di mana pasukan-pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

“Apapun, saya mewakili bagi pihak MFL ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan saingan Liga Malaysia seperti CIMB Liga Super dan Liga Premier dijalankan sebelum ini.

“MFL juga memberi penghargaan kepada setiap pasukan yang berusaha keras untuk bertanding dalam pertandingan Liga Malaysia iaitu CIMB Liga Super, Liga Premier dan TM Piala Malaysia musim ini dengan mematuhi SOP begitu baik.

“MFL juga tidak lupa kepada penaja-penaja iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB, AirAsia, Nike dan F&N 100Plus yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami ketika berdepan detik sukar ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

MFL sebelum ini menyatakan bahawa pengelola Liga Malaysia itu telah bersedia dengan mekanisme khas dalam misi meneruskan saingan TM Piala Malaysia 2020 di negeri bebas PKPB.

Dalam perancangan itu, MFL telah menghantar permohonan untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir dan separuh akhir.

Sebagai rekod, kejohanan TM Piala Malaysia 2020 telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani mengesahkan Terengganu FC (TFC) yang menduduki tangga ketiga CIMB Liga Super, meraih slot Piala AFC 2021 sejurus pembatalan TM Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa hari ini.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat khas juga memutuskan bahawa tempat ketiga CIMB Liga Super iaitu TFC akan mendapat slot Piala AFC 2021 selepas TM Piala Malaysia 2020 dibatalkan.

“Tahun ini adalah detik cukup sukar buat bola sepak di mana banyak kekangan dan halangan yang kita tempuhi tetapi saya berharap kita semua kekal patuhi SOP serta harus bangkit untuk memutuskan rantaian COVID-19
dalam misi memastikan bola sepak tempatan kembali bernyawa.

“Saya juga berharap pasukan-pasukan yang telah menamatkan kempen Liga Malaysia 2020 akan bersedia untuk persiapan musim 2021,” katanya.

Views:

1023
Kongsi :
Previous post COVID-19: Lebih 8,000 pekerja kilang Kluster Berendam jalani saringan
Next post PKPB: MIBC jangka pendapatan terjejas sehingga 50 peratus
Ubah saiz-+=