COVID-19: PM jalani kuarantin kendiri 14 hari
MELAKA 5 Okt. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.
Terdahulu, Dr. Zulkifli hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Seremban.
Menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri hari ini, kuarantin kendiri yang akan dijalani Muhyiddin bagaimanapun tidak akan menganggu urus kerajaan.
“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video dari mesyuarat yang perlu saya pengerusikan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak bulan April 2020 dan kesemua ujian pengesanan ini telah disahkan negatif.
“Selain itu, saya telah melakukan tiga ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut turut memberitahu, berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka yang dikenalpasti kontak rapat semasa mesyuarat itu telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.
Ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula 3 Oktober 2020 hingga 16 Oktober dan memantau serius status kesihatan kendiri di rumah setiap hari menggunakan ‘home assessment tool’ (HAT) dalam aplikasi MySejahtera