Covid-19: RM28.2 juta bantuan telah disalurkan kepada rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Sebanyak RM28.2 juta peruntukan melalui 28 inisiatif kerajaan negeri telah disalurkan kepada semua pihak susulan penularan Covid-19 sejak Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, melalui jumlah terbabit sebanyak RM15.7 juta telah disalurkan kerajaan negeri
diikuti tambahan RM12.4 juta turut diperuntukkan menerusi kerjasama Majis Agama Islam Melaka (MAIM).

Jelasnya, menerusi inisiatif berkenaan seramai 36,400 penerima telah menerima pelbagai bantuan kit makanan asas termasuk Bantuan Makanan Bulanan dan Bantuan Makanan Bulanan Tambahan yang memanfaatkan golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Manakala, Bantuan Ramadan dan Syawal berjumah RM4.78 juta telah dimanfaatkan oleh seramai 12,622 penerima di negeri ini.

“Pada masa sama, kerajaan negeri telah menangguh tempoh denda lewat cukai dari 31 Mei hingga 31 Julai tahun ini bagi cukai tanah, cukai petak atau strata yang dapat mengurangkan beban kewangan 390,000 pembayar cukai dalam Negeri Melaka.

“Selain itu, kita turut menangguhkan bayaran balik pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) selain menangguhkan pembayaran bil dan air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan diajukan Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Bandar Hilir) pada hari ketiga Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, pagi tadi.

Dalam pada itu jelas Rahmad, pengusaha kecil yang terjejas turut diberikan pelbagai bantuan.

“Seramai 2,878 pengusaha kecil diberikan pengecualian sewa tapak penjaja dan peniaga kecil bergantung kepada kategori premis bagi tempoh Mac hingga April 2020 sekali gus memberi peluang mereka merancang aliran tunai dan memulihkan kedudukan kewangan disebabkan terkesan dengan Covid-19.

“Malah, seramai 8,483 pengusaha keci turut dimanfaatkan dengan memberi pengecualian bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil bergantung kepada kategori lesen bagi tahun 2020.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM500,000 buat petugas barisan hadapan bagi tujuan pembayaran elaun makanan petugas dan pembelian peralatan asas bagi memastikan kebajikan petugas-petugas ini terjamin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Views:

228
Kongsi :
Previous post Ajal murid Tahun 3 tidak sempat kembali ke sekolah
Next post Kedudukan kewangan PBT Melaka dalam keadaan baik
Ubah saiz-+=