Covid-19: Usah rumitkan lagi keadaan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR 14 Mei – Orang ramai tidak sepatutnya merumitkan keadaan dan menyusahkan diri mereka ketika negara sedang ‘berperang’ dengan wabak Koronavirus (Covid-19) kerana tidak mahu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Peringatan sering diberikan dalam isu pematuhan arahan PKPB kerana ia bertujuan memastikan bahawa masyarakat secara keseluruhannya terlindung daripada penularan wabak Covid-19.

Berikutan kedegilan segelintir pihak mematuhi arahan itu, kerajaan terpaksa mengerakkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih kerap di pusat membeli-belah dan pasar raya terutama di premis perniagaan yang mengadakan jualan murah atau promosi tertentu.

Walaupun tiada akta melarang membawa kanak-kanak ke pusat membeli-belah, sepatutnya ibu bapa lebih peka dengan situasi ketika ini iaitu tidak selamat untuk membawa anak ke tempat awam yang dipenuhi orang ramai.

Orang ramai juga perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 dalam masyarakat.

Sedarlah, sikap pentingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab dengan melanggar arahan yang ditetapkan bukan sahaja memakan diri sendiri malah akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Berbaki kira-kira 10 hari lagi bagi umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah bagi perayaan itu pada hari pertama sahaja dan ia turut terpakai untuk Pesta Kaamatan serta Hari Gawai

Namun beringatlah, aktiviti ziarah itu hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu hari.

Arahan itu juga selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa berdasarkan pemodelan dan ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan (KKM), Malaysia bakal berdepan peningkatan penularan COVID-19 secara mendadak pada pertengahan Jun, sekiranya rakyat gagal mematuhi SOP PKPB.

Beliau berkata ketika ini, nilai kebolehjangkitan atau R-nought (R0) wabak itu diturunkan kepada 0.3 berbanding 3.5 pada awal pelaksanaan PKP dan sekiranya masyarakat leka dan ingkar dengan SOP yang ditetapkan, nilai R0 akan meningkat semula dan jika mencapai nilai 1.6 atau paras amaran, kemungkinan kerajaan akan melaksanakan PKP seperti 18 Mac lalu.

Menurut unjuran itu, KKM juga menjangkakan Malaysia mampu mencapai tahap satu angka bagi kes baharu dalam tempoh seminggu sekiranya rakyat terus mematuhi SOP PKPB.

Kita mungkin tidak mampu membantu petugas barisan hadapan dalam aspek teknikal kesihatan namun dengan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan, matlamat memutuskan rantaian pandemik maut itu pasti akan tercapai.

— BERNAMA

Views:

358
Kongsi :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Previous post APSF akan sahkan pembatalan Sukan Para Asean 2020
Next post Hot weather does not kill COVID-19, may facilitate its spread – Russian scientist
Ubah saiz-+=