APSF akan sahkan pembatalan Sukan Para Asean 2020

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 13 Mei — Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola (BoG) untuk mengesahkan pembatalan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Presidennya, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai, berkata APSF telah menerima pemberitahuan rasmi mengenai pembatalan temasya sukan berkenaan daripada Jawatankuasa Paralimpik Filipina pada 6 Mei berikutan pengumumannya mengenai status temasya dwitahunan di Manila, baru-baru ini.

“APSF ingin mengucapkan terima kasih kepada Filipina atas semua usaha yang telah dilakukan sebelum pembatalan Sukan Para ASEAN. Kami memahami sepenuhnya bahawa keputusan itu harus dibuat kerana pandemik COVID-19 dan ketidakpastian yang ada,” katanya.

“APSF akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola untuk membahas, mengesahkan dan menyokong pembatalan Sukan Para ASEAN ke-10 dan terus menuju kepada penganjuran Sukan Para ASEAN ke-11 2021 yang dijadualkan di Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini .

Filipina sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN pada Januari lepas, selepas menganjurkan Sukan SEA pada Disember lalu.

Bagaimanapun, temasya sukan berkenaan ditangguhkan hingga akhir Mac dan kemudiannya dipinda sekali lagi hingga Mei atau Jun, sebelum keputusan membatalkannya dibuat kerana keadaan yang tidak terkawal disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) dilaporkan telah menarik balik sokongan kewangan untuk penganjuran sukan itu bagi memberi tumpuan kepada langkah untuk mengatasi pandemik itu, yang mengakibatkan pembatalan tersebut.

— BERNAMA

Views:

435
Kongsi :
Previous post LHDNM buka kaunter duti setem dari 8 pagi hingga 1 tengah hari
Next post Covid-19: Usah rumitkan lagi keadaan
Ubah saiz-+=