Dakwaan pelajar maut selepas divaksin: Polis selesai rakam percakapan suspek

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

IPOH 4 Okt – Polis telah selesai merakam percakapan beberapa individu termasuk seorang suspek yang terlibat berhubung dakwaan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai, di sini, meninggal dunia selepas divaksinasi seperti tular menerusi media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek wanita berusia 39 tahun itu telah dirakam percakapannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.

“Kami telah merakam percakapan semua yang terlibat dalam kes ini iaitu pengarah kesihatan Ulu Kinta, pengetua sekolah berkenaan, pegawai perubatan yang merawat pelajar terbabit, keluarga pelajar tersebut serta saksi yang berada bersama suspek semasa membuat kenyataan di dalam video yang tular.

“Semasa rakaman percakapan diambil ke atas suspek, beliau mengaku ada membuat kenyataan di dalam video yang tular tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, di sini hari ini.

KETUA Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid. Foto PDRM.

Mior Faridalthrash berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505(b) kanun sama kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Menurutnya kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk melakukan pendakwaan terhadap suspek.

Pada 29 September lalu, Mior Faridalathrash berkata, dakwaan dua pelajar SMK Tasek Damai di sini meninggal dunia akibat vaksin COVID-19 menerusi rakaman video yang tular adalah tidak benar.

Menurutnya hasil semakan mendapati dua pelajar sekolah berkenaan dilaporkan meninggal dunia sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula pada 20 September lalu di negeri ini.

“Seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif COVID-19 pada 18 Julai manakala seorang lagi pelajar lelaki meninggal dunia akibat sakit jantung pada 17 September lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post ‘Kejut ibu 5.30 pagi tak sabar nak sekolah’
Next post Malaysia perlu tangani isu penduduk menua, kekurangan dana persaraan- pakar
Ubah saiz-+=