DAN 2.0: Transformasi sektor agromakanan, pacu pertumbuhan ekonomi

Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat

PUTRAJAYA 6 Ogos – Kerajaan akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) tidak lama lagi bagi mentransformasi sektor agromakanan yang mapan, berdaya saing dan berteknologi tinggi serta dapat memacu pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan muda diharap menyokong usaha kerajaan dengan membawa teknologi moden seperti Internet benda (IoT), teknologi pendigitalan, teknologi mekanisasi dan automasi ke dalam sektor agromakanan pada era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Ini (teknologi) dapat melonjakkan sektor agromakanan ke suatu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran agar sektor ini berkembang lebih pantas dan mampu memberi pulangan lumayan kepada golongan sasar,” katanya.

Berucap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2021 melalui laman Facebook rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini, Muhyiddin berkata, kerajaan juga telah melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dengan memfokuskan kepada pengeluaran makanan dan input ternakan secara tempatan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Lembaga Ruminan Negara yang akan beroperasi secara berfasa mulai 2022 bagi mempertingkatkan kemapanan dan pertumbuhan industri ternakan.

Menurutnya, penubuhan Lembaga Ruminan Negara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC).

Memahami kesukaran yang dihadapi peladang, penternak dan nelayan yang berdepan dengan pandemik COVID-19, Muhyiddin turut menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak pernah meminggirkan golongan itu.

Sebagai menghargai sumbangan golongan tersebut dalam memastikan bekalan makanan stabil dan terjamin, kerajaan telah memberi peruntukan berskala besar dan berterusan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan rantaian aktiviti pengeluaran makanan terus berdaya saing dan tidak terjejas.

“Ketika negara lain menghadapi krisis kekurangan dan terputus bekalan makanan, namun Malaysia masih mempunyai stok bekalan makanan yang stabil dan terjamin.

“Kesemua ini adalah hasil komitmen dan usaha berterusan tanpa mengenal penat lelah peladang, penternak dan nelayan yang pada hakikatnya adalah petugas barisan hadapan atau frontliners kita dalam sektor agromakanan negara,” katanya.

Memperincikan peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, Muhyddin berkata, sebanyak RM640 juta diperuntukkan kepada MAFI menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Melalui Belanjawan 2021 pula, Perdana Menteri berkata sebanyak RM4.79 juta diperuntukkan kepada MAFI bagi merancakkan sektor pertanian dan industri makanan selain peruntukan RM1.53 bilion bagi subsidi serta insentif pengeluaran padi negara, yang memanfaatkan 300,000 pesawah.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) sebagai usaha meningkatkan pendapatan pesawah melalui penghapusan atau pengurangan peranan orang tengah di sepanjang rantaian industri padi dan beras negara.

Melalui Smart SBB, katanya ia berupaya membantu negara mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Muhyiddin berkata Projek Pertanian Kebuniti juga diteruskan tahun ini dengan peruntukan khas sebanyak RM30 juta yang dikhususkan kepada golongan B40.

“Peruntukan yang disediakan bertujuan membantu golongan sasar mempergiatkan aktiviti ekonomi demi kelangsungan bekalan makanan negara dan memberi peluang kepada peladang, penternak dan nelayan memperoleh pendapatan secara berterusan,” katanya.

Bagi golongan nelayan laut pula, Perdana Menteri berkata kerajaan telah bersetuju menaikkan elaun sara hidup bulanan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, manakala elaun sara hidup nelayan darat pula dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, dengan nilai peruntukan sebanyak RM151 juta setahun.

Muhyiddin berkata sebanyak RM338 juta diperuntukan di bawah Dana Jaminan Makanan Negara (DJM) bagi memastikan MAFI terus meneroka pelbagai program berpotensi dan berimpak tinggi.

Mengenai program memperkasakan pergerakan LPP, Muhyiddin berkata model perniagaan projek-projek berjaya LPP akan direplikasi dengan melibatkan RM60 juta menerusi Projek Pertanian Organik dan Projek Ladang E-Satelit yang dijangka memanfaatkan 1,700 peladang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post 31 MP BN sokong Perikatan Nasional
Next post ‘Kami setia dengan parti, namun enggan bebankan rakyat’
Ubah saiz-+=