Dana permulaan RM10j bagi bantuan khas kesan mudarat vaksin COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA 22 Mac – Kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang mendapat kesan sampingan serius setelah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bantuan khas itu dibahagi kepada dua kategori iaitu bantuan khas RM50,000 sekiranya berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19.

Beliau ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata dana permulaan itu adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19.

“Bantuan khas ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin COVID-19,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Bantuan khas itu juga diharapkan dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga yang berkemungkinan terjejas kesan daripada pengambilan vaksin, katanya.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin COVID-19, Jawatankuasa Teknikal Perubatan dan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 untuk menilai kesan sampingan.

Katanya, Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin COVID-19 akan memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi serta isu keselamatan berkaitan vaksin, manakala Jawatankuasa Teknikal Perubatan terdiri daripada pakar perubatan pula adalah bagi menentukan sama ada kes permohonan bantuan khas kewangan mempunyai hubung kait (causal relationship) dengan vaksin COVID-19.

“Penilaian akan dibuat mengikut kes berdasarkan bukti yang diterima dan laporan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin COVID-19,” katanya.

Satu lagi jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 pula berperanan meluluskan bantuan khas kewangan berdasarkan keputusan kedua-dua jawatankuasa tersebut, katanya.

“Ketiga-tiga jawatankuasa bertindak serentak dan bantuan khas akan diberikan kepada penerima terkesan selepas dinilai yang mana urusan pembayaran dibuat oleh Nadma,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata 20 jenis kesan sampingan dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera dan pusat pemerhatian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga 18 Mac lepas antaranya pening, sesak nafas, loya, muntah, berdebar-debar, gatal, kebas, ruam dan sesak dada.

Beliau berkata individu yang menghadapi ketidakselesaan pada dada perlu dibawa ke hospital untuk pemerhatian lanjut dan tidak dibenarkan keluar sementara menunggu untuk suntikan dos kedua selepas 21 hari.

Selain itu, Dr Adham menjelaskan antara kesan sampingan normal selepas suntikan vaksin adalah sakit di tempat suntikan iaitu 80 peratus, keletihan dan kelesuan (60), sakit kepala (50) dan bengkak di tempat suntikan (10).

“Setakat hari ini tiada perkara luar biasa berlaku di Malaysia kerana vaksin COVID-19 dan kesan sampingan ringan yang dilaporkan tidak membimbangkan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post RM500,000 jika hilang upaya, mati akibat vaksin COVID-19
Next post Program Malaysia Prihatin beri kesedaran akar umbi cegah COVID-19
Ubah saiz-+=