Dari cuba nasib, kepada johan kampung laman indah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 8 Februari – “Pada mulanya kami rasa tidak layak untuk masuk pertandingan ini, tapi kami beranikan diri mencuba nasib dan alhamdulillah ia membuahkan hasil”.

Itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Larang, Zamani Md Isa selepas kampungnya dinobatkan johan Pertandingan Laman Indah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, tidak banyak persiapan dibuat bagi pertandingan itu, tetapi disebabkan faktor kebersihan dan keindahan kampung yang sering ditekankan menjadi aspek utama kepada kemenangan itu.

“Sebenarnya tidak banyak persiapan yang kami buat, sejak setahun lalu kami sudah adakan mesyuarat bersama penduduk supaya sentiasa menjaga keindahan dan kebersihan kampung.

“Tidak sangka pula ada pertandingan laman indah tersebut jadi pihak MBMB menyuruh agar kampung ini sertai sekali.

“Disebabkan kampung saya sering menjadi ‘port’ persinggahan pelancong dari dalam dan luar negara, jadi saya lebih yakin untuk masuk pertandingan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Zamani menerima wang tunai bernilai RM3,000 selepas merangkul johan bagi kategori kampung dalam pertandingan itu pada Majlis Penghargaan Asean Clean Tourist City 2024 di Dewan Taming Sari MBMB, semalam.

Hadiah telah disampaikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Katanya, Kampung Bukit Larang mempunyai seramai 300 penduduk melibatkan sebanyak 120 rumah.

“Peruntukan kami guna inisiatif sendiri sahaja, ini atas kesedaran masing-masing untuk menjaga kebersihan dan keindahan kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post Kak Som santuni 3,000 warga Pengkalan Batu
Next post Syarikat sisa pepejal peruntuk RM30,000 bantu masyarakat Cina beraya
Ubah saiz-+=