Datuk Bandar pesan jaga kebersihan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 8 Februari – Peniaga dan penjaja dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) khususnya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong, diingatkan supaya mementingkan aspek kebersihan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, peringatan itu adalah susulan aspek kebersihan kurang memuaskan di lokasi tumpuan pelancong di Pantai Puteri dan Pantai Klebang.

Terdahulu Shadan meluahkan rasa kurang senang dengan sikap sesetengah peniaga dan penjaja yang mengabaikan aspek selepas melawat dua lokasi berkenaan minggu lalu.

“Kita menerima aduan berulang tentang aspek kebersihan, perkara ini mencacatkan pemandangan sedangkan ia adalah lokasi tumpuan pelancong.

“Berikutan itu saya memandang serius perkara ini kerana ia juga membabitkan kebersihan makanan dijual kepada pengunjung apabila ada peniaga membiarkan peralatan masing-masing yang dibimbangi menjadi tempat teduhan haiwan liar seperti anjing dan kucing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Nota Serahan Tugas Jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kepada Datin Sapiah di Kompleks Melaka Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Shadan berkata MBMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika peniaga atau penjaja berkenaan dikesan masih gagal meningkatkan tahap kebersihan, mengabaikan notis peringatan dan peringatan diberikan sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1433
Kongsi :
Previous post Dialog Buah Melaka medan belia bersuara
Next post Guna helikopter bantu kesan komando hilang
Ubah saiz-+=