Datuk Bandar, tiga Yang Dipertua PBT lafaz sumpah hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 1 Februari – Datuk Shadan Othman mendahului lafaz sumpah sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, hari ini.

Beliau melafazkan lafaz sumpah itu pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di sini, pagi tadi.

Turut melafazkan sumpah secara serentak dalam majlis berkenaan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohd Nalif@Zawawi serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Harun.

Hadir sama menyaksikan majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan serta lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sebaik tamat lafaz sumpah berkenaan, Sulaiman menyerahkan watikah pelantikan kepada Shadan diikuti Saifuddin, Rosemanizam dan Sapiah.

Shadan dilantik sebagai Datuk Bandar MBMB yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Datuk Zainal Abu yang tamat perkhidmatan pada 31 Januari.

Berikutan itu, Sapiah dilantik sebagai Yang Dipertua MPHTJ bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan manakala bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Rosemanizam mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sapiah sebagai Yang Dipertua MPJ yang baharu.

Pelantikan Datuk Bandar MBMB dan Yang Dipertua MPJ dan MPHTJ berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Disember 2023.

Manakala Saifuddin yang kekal sebagai Yang Dipertua MPAG meneruskan jawatan itu berkuat kuasa mulai 1 September 2022 sehingga 1 September 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3617
Kongsi :
Previous post Penganggur dituduh bunuh wanita warga emas
Next post Istiadat Pengurniaan Pingat Wilayah Persekutuan yang terakhir disempurnakan Agong
Ubah saiz-+=