Delegasi Melaka teroka kaedah pengurusan air Australia – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat
AYER KEROH 19 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka menggunakan kesempatan bersempena lawatan kerja ke Australia untuk mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Persuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, semalam.
Ketibaan Ab Rauf dan delegasi disambut Pemangku Persuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Abu Hirzan Mustapa.
“Dalam pertemuan ini saya maklumkan tujuan delegasi Kumpulan Amanah Sumber Air Negeri Melaka ke Australia adalah untuk mempelajari dan meneroka tentang pengurusan air.
“Kerajaan Melaka berharap lawatan ini dapat memberikan pendedahan, panduan dan perkongsian ilmu dalam pembangunan konsep sama di Negeri Melaka.
“Lawatan ini juga menjadi titik tolak kepada kerjasama dan hubungan erat antara kedua-dua pihak di masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
WhatsApp Image 2023-07-18 at 8.44.23 PM
KETUA Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berbincang bersama pegawai di ‘Office Of Water, New South Wales Goverment’ di Sydney. Foto Facebook Ab Rauf Yusoh.
Delegasi Melaka turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Turut sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Melaka, Faizah Abdul Rahma@Sulaiman.
Terdahulu Ab Rauf, bersama delegasi turut mengadakan lawatan kerja ke ‘Commonwealth Scientific Industrial Research Organization’ (CSIRO) juga di Canberra.
“Tujuan dan matlamat utama lawatan ini adalah bagi mendalami pengurusan air, selain mempelajari bidang penyelidikan dan kepakaran CSIRO yang boleh dimanfaatkan bagi memajukan kualiti dan kecekapan dalam pengurusan air di Negeri Melaka,” katanya.
Selain itu pada Isnin delegasi Kerajaan Negeri turut melawat ‘Office Of Water, New South Wales Goverment’ di Sydney, iaitu sebuah agensi bertanggungjawab bagi keselamatan air dan mengurus sumber air termasuk permukaan dan bawah tanah.
“Menerusi perkongsian maklumat, saya percaya Kerajaan Negeri dapat mempelajari inovasi, pengurusan air yang cekap dan mampan selain menyokong keperluan nilai alam sekitar, sosial serta ekonomi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1345
Kongsi :
Previous post Hampir 500,000 anggota ATM dan pasangan terlibat undi awal PRN – Adly
Next post Pelawa Google meriahkan SMIX 2023
Ubah saiz-+=