Sorting by

×

Dr Noor Hisham nasihat pihak industri letak label kandungan garam pada produk makanan, minuman

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan pihak industri makanan agar mematuhi Akta Makanan 1983 pindaan 2020 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman.

Beliau berkata langkah itu dapat membantu pengguna memahami tentang kandungan nutrisi sesuatu produk makanan atau minuman, dan secara tidak langsung menggalakkan orang ramai membeli makanan yang lebih sihat dan sesuai dengan keperluan.

Katanya berdasarkan tinjauan di pasar raya di Malaysia pada tahun 2017 hanya separuh daripada produk makanan didapati menunjukkan label kandungan garam pada maklumat pemakanan.

“Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan utama kepada pihak industri makanan dengan memberikan pendidikan dan kerjasama berterusan bagi memastikan mereka komited melakukan reformulasi produk makanan dan minuman agar kandungan garam dapat dikurangkan,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang disambut pada 14 hingga 20 Mac dengan tema ‘Tak Masin Tu Ok!’, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata pengambilan garam berlebihan meningkatkan tekanan darah dan seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser dan penyakit buah pinggang, yang merupakan punca utama kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia.

“Dianggarkan kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet yang tidak sihat dan tiga juta daripada jumlah ini berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi,” katanya.

Justeru Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai mengehadkan pengambilan garam, dengan secara keseluruhan tidak melebihi satu sudu teh sehari termasuk garam tersembunyi bagi mengurangkan risiko penyakit NCD.

Selain itu orang ramai juga katanya perlu mengenali sumber lain garam yang mungkin tersembunyi seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan memilih produk yang lebih rendah atau kurang garam pada label selain Pilihan Lebih Sihat (HCL) sebagai panduan.

“Masyarakat juga perlu utamakan perisa semula jadi dalam hidangan makanan seperti bawang putih, kunyit, halia, daun ketumbar dan limau nipis dan mengurangkan garam, sos dan penambah perasa seperti monosodium glutamate (MSG), pes sedia guna, kiub dan serbuk perasa dalam masakan.

“Pengambilan makanan diproses ultra juga perlu dihadkan, di samping perlu kerap makan di rumah, dan sekiranya makan di luar, pesan hidangan kurang garam sebagai norma baharu,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1413
Kongsi :
Previous post Kos pinjaman kerajaan bertambah RM830 juta setahun kerana pengeluaran KWSP RM101 bilion setahun
Next post Hasni cadang BN pilih orang muda Pimpin Johor
Ubah saiz-+=