Dugaan petang 4 Syawal

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 25 April – Keceriaan Nurhuda Fathiah Mohd Taha, 28, masih dalam ‘mood’ Aidilfitri terbantut selepas bumbung kediaman mereka di Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, rosak akibat kejadian ribut kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Selain kerosakan teruk di bahagian dapur dua bilik tidur kediaman keluarganya itu turut dimasuki air hujan akibat kebocoran bumbung selepas dibadai ribut.

Katanya dalam masa dua minit sahaja bumbung kediamannya diterbangkan ribut menyebabkan bahagian itu basah akibat dimasuki air hujan.

“Melihat awan hitam semakin hampir saya segera mengangkat jemuran di belakang rumah. Sebaik kaki melangkah masuk menerusi pintu dapur, ribut beserta hujan lebat melanda kawasan rumah kami.

“Ketika itu saya memang cemas dan berdebar, bila toleh keatas bumbung sudah tiada. Semalam juga ada berlaku ribut dan hujan lebat tetapi tidak seteruk hari ini yang menyebabkan kerosakan,” katanya ketika ditemui.

WhatsApp Image 2023-04-25 at 8.02.05 PM
NURHUDA FATHIAH

Dia bagaimanapun bersyukur kerana 10 ahli keluarga termasuk anak saudara dan ibunya yang berusia 66 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu Nurhuda Fathiah dan beberapa lagi mangsa lain menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang turun padang untuk bertanya khabar serta melihat sendiri keadaan penduduk terjejas ribut.

Sementara itu seorang lagi penduduk Erwanyus Md Saad, 43, berkata, bencana yang menimpa adalah yang pertama kali berlaku sepanjang dia membesar di kampung berkenaan.

Menurutnya, meskipun kerosakan bumbung dialami tidak begitu serius namun dia mengambil keputusan untuk terus menggantikan bahagian yang terjejas berikutan risau ribut dan hujan lebat akan berulang.

“Mujur ada adik ipar yang pulang bercuti sempena Aidilfitri, jadi kami gantikan terus bumbung yang rosak. Alhamdulillah penduduk kampung juga ramai yang prihatin hingga ada meminjamkan atap ‘adec’.

“Saya baiki dulu sementara menunggu bantuan daripada agensi berkaitan yang turun padang meninjau kerosakan akibat kejadian ribut kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post 17 kediaman rosak akibat ribut di Tanjung Bidara
Next post Ops Sudan selamat bawa 30 rakyat Malaysia, 26 warga asing ke Port Sudan – Zambry
Ubah saiz-+=