Ops Sudan selamat bawa 30 rakyat Malaysia, 26 warga asing ke Port Sudan – Zambry

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PUTRAJAYA, 25 April – Kesemua 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, Sudan selamat tiba di Port Sudan pada jam 2.07 petang Isnin waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 km.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu kenyataan pada Selasa berkata Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia turut membawa keluar 26 warganegara lain dengan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Warganegara lain itu terdiri daripada seorang warga Filipina, enam orang warga Kemboja, 14 orang warga Singapura, seorang warga Thailand, dua orang warga Amerika Syarikat, seorang warga Palestin dan seorang orang warga Sudan.

Jelasnya, dua lagi rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan proses evakuasi itu merupakan mereka yang berkhidmat dengan United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Selanjutnya, kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang ini keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen iaitu sama ada melalui laluan udara (sewaan khas pesawat) atau melalui laluan laut (kapal laut).

“Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” katanya. 

“Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegara mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” tambahnya.

Setakat ini, lebih 400 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 3,500 lagi cedera sejak konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) tercetus pada 15 April.

— BERNAMA 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Dugaan petang 4 Syawal
Next post Kepala angin ranapkan warung sekelip mata
Ubah saiz-+=